Bekas menteri pengangkutan enggan ulas perjanjian AES berat sebelah

Kong Cho Ha dikatakan menandatangani perjanjian AES itu semasa pentadbiran kerajaan terdahulu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bekas menteri pengangkutan, Tan Sri Kong Cho Ha enggan mengulas dakwaan kementerian itu bahawa perjanjian Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berat sebelah dan menguntungkan syarikat pengendali.

Cho Ha berkata, sekiranya beliau memberikan komen, apa yang diperkatakan olehnya itu tidak lengkap.

“Kalau 100% saya cakap 5%. Yang 95% lagi tak cakap,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Cho Ha menyarankan agar Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyemak kembali perjanjian berkenaan.

“Buat satu laporan kepada menteri, saya ingat lebih baik,” katanya.

Beliau juga menyarankan JPJ menyemak siapa yang meluluskan kandungan perjanjian dan melihat bagaimana perjanjian berkenaan dihasilkan.

“Semua itu perlu (disemak). Siapa yang meluluskan kandungan (perjanjian). Sebab itu saya cakap nanti tak lengkap,” katanya.

Semalam Anthony Loke Siew Fook berkata, 2 syarikat konsesi itu – ATES Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd meraih keuntungan sebanyak RM129 juta dalam 6 tahun, bermula 2012 hingga Mei lalu.

Beliau berkata, kerajaan juga tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kutipan saman itu sebaliknya ia dibayar sepenuhnya kepada 2 syarikat konsesi terbabit.

Loke juga berkata Cho Ha menandatangani perjanjian berkenaan.

AES mula berkuat kuasa ketika Cho Ha yang juga pemimpin MCA menjadi menteri pengangkutan pada 2012.

Jumaat lalu, Loke mengumumkan pembatalan semua 3.1 juta saman AES bernilai kira-kira RM435.

Katanya, JPJ akan mengambil alih sistem AES sepenuhnya mulai bulan depan kerana kerajaan tidak menyambung kontrak 2 syarikat konsesi itu yang akan tamat hujung bulan ini.