Calon PH Seri Setia nekad basmi perniagaan haram

Halimey Abu Bakar mahu membela dan menaik taraf kehidupan peniaga kecil-kecilan di DUN Seri Setia.

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar tidak akan “memberi muka” kepada sebarang perniagaan haram di DUN itu jika beliau menang nanti.

Katanya, sebagai bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), beliau akan meneruskan tugasnya untuk membanteras kegiatan itu yang jelas mendatangkan banyak masalah kepada komuniti setempat.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan kegiatan haram seperti ceti haram, operasi mesin judi dan rumah urut tanpa lesen.

“Saya tetap bertegas untuk memerangi gejala ini kerana ia adalah perniagaan haram,” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PH, hari ini.

Sebagai anak peniaga kecil, beliau juga nekad untuk membela dan menaik taraf kehidupan peniaga kecil-kecilan di kawasannya.

Katanya, bantuan perniagaan akan dibuat selaras dengan perkembangan teknologi terkini supaya mereka tidak ketinggalan oleh arus pemodenan.

“Sebagai bekas ahli MBPJ, antara usaha yang saya perjuangkan adalah membina kiosk untuk memberi mereka peluang berniaga.

“Selepas ini, saya akan berusaha merangka pelbagai program bagi mendedahkan peniaga kecil di kawasan ini kepada teknologi pemasaran berdasarkan internet iaitu online business marketing.”

Pada PRK kali ini, Halimey akan menentang calon PAS, Halimah Ali.

Tempoh berkempen bagi PRK ini ditetapkan selama 21 hari dengan 8 September ditetapkan sebagai hari pengundian.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

Pada PRU14, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi apabila menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.