Hampir 300 mangsa perang Korea bertemu selepas 65 tahun terpisah

Pertemuan pada Selasa menyaksikan mereka berpakaian tradisional Korea (hanbok) dan ada di antaranya membawa pelbagai jenis hadiah. (Gambar Reuters)

MOUNT KUMGANG: Puluhan warga Korea Selatan bertemu kembali dengan ahli keluarga mereka yang menetap di Korea Utara setelah lama terpisah, pada hari ke-2 berlangsungnya majlis penyatuan semula, lapor Yonhap pada Selasa.

Pada Isnin, 89 warga Korea Selatan dan 185 penduduk Korea Utara bertemu pada majlis yang berlangsung di sebuah pusat peranginan di timur Korea Utara, buat pertama kalinya sejak terpisah akibat Perang Korea 1950-1953.

Pertemuan bermula 10.00 pagi Selasa itu menyaksikan mereka berpakaian tradisional Korea (hanbok) dan ada di antaranya membawa pelbagai jenis hadiah.

Menurut Lee Young Boo, 76, keadaan hari ini lebih bebas dan tenang berbanding semalam.

“Hari ini lebih baik. Makanan juga enak,” kata Lee, yang berpeluang bertemu dengan 2 anak saudara lelaki dan seorang perempuan.

Rabu adalah hari terakhir mereka menghabiskan masa bersama yang akan diakhiri dengan menikmati makan tengah hari bersama sebelum kembali ke tempat masing-masing.

Majlis tersebut diadakan ketika kedua-dua negara sedang mencari jalan mengukuhkan lagi hubungan.

Ia susulan kesepakatan dicapai pemimpin kedua-dua negara di sidang kemuncak pada April iaitu untuk menangani cabaran kemanusiaan yang wujud disebabkan Perang Korea, yang berakhir dengan gencatan senjata, bukannya perjanjian damai.