Ibu bapa saran saringan mental terhadap guru, pengasuh taska

Ibu bapa menyarankan pengusaha taska menyelidik latar belakang guru dan pengasuh yang diambil. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Rata-rata ibu bapa yang menghantar anak ke pusat jagaan kanak-kanak menyatakan kebimbangan mereka dan menyarankan setiap guru dan pengasuh menjalani saringan mental bagi mengelak kes penderaan berulang.

Walaupun mengetahui langkah itu sukar dilaksanakan, namun mereka merasakan ia adalah salah satu cara untuk mengurangkan kes penderaan kanak-kanak di taska atau tabika.

Shahfizul Suradi, 30, mengakui beliau sangat bimbang berhubung isu penderaan yang tular di media sosial.

Bapa kepada seorang anak itu berkata kebimbangan itu akan berlaku setiap kali menghantar anaknya ke taska.

“Rasa sakit hati. Bimbang terhadap anak dan mahu pelaku dihukum setimpal. Saringan mental perlu dibuat kepada guru atau pengasuh, selain dapatkan guru yang terlatih.

“Perlu pastikan taska yang dihantar berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). JKM kena selalu buat pemeriksaan terhadap taska.

“Hukuman dan denda berat perlu dibuat kepada pesalah agar tidak diulangi kesalahan. Ibu bapa kena bertanggungjawab untuk memilih taska yang terbaik,” katanya kepada FMT.

Shahfizul yang bekerja sebagai jurutera berkata selain penderaan, beliau juga bimbang mengenai pemakanan dan keselamatan anak daripada risiko penyakit berjangkit apabila ada ibu bapa yang tidak bertanggungjawab menghantar anak mereka yang sakit ke taska.

Katanya, beliau selalu memastikan pemakanan untuk anaknya sihat dan selalu memantau menu di taska anaknya setiap hari.

“Saya juga bekalkan makanan tambahan untuk anak saya. Dari segi keselamatan, kita kena cari taska yang ada CCTV dan sentiasa kemas kini dengan gurunya tentang perkembangan anak di taska.

“Dan bila balik, kena serta-merta periksa ada kesan lebam, gigitan dan lain-lain,” katanya.

Baru-baru ini kes penderaan kanak-kanak di taska dan tadika timbul lagi apabila 2 guru tadika di Ayer Keroh, Melaka digantung daripada mengajar dan didakwa di mahkamah selepas didakwa melakukan penderaan fizikal terhadap kanak-kanak.

Tertuduh, Rozana Sawal, 41, dan Nor Sulastri Suratmi Bahrom, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadap mereka.

Rozana, didakwa menganiayai dari segi fizikal dengan cara mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun iaitu menampar pipi sehingga jatuh kerusi; dan melakukan tindakan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun iaitu menampar pipinya sebanyak 2 kali.

Nor Sulastri Suratmi didakwa menganiayai dari segi fizikal dengan cara mengasari seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun iaitu mengangkat dan meletakkannya di atas leher seorang kanak-kanak lain serta mencubitnya dan mengasari seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun dengan mengangkat dan mengigit tangannya.

Terdahulu, negara juga digemparkan dengan kematian bayi berusia 5 bulan, Adam Raykal Mohd Sufi Naeif yang didakwa disembunyikan pengasuh di dalam bahagian sejuk beku peti ais.

Nur Ezrin Abdul Rahman.

Sementara, Nur Ezrin Abdul Rahman, 34, yang bekerja sebagai akauntan menyatakan lebih kebimbangan kerana menghantar 3 orang anaknya di taska di Bandar Baru Bangi.

Beliau berkata antara kebimbangan yang selalu dihadapinya adalah mengenai perhatian yang diberikan guru atau pengasuh, tahap kebersihan taska dan gangguan daripada anak-anak lain di pusat jagaan itu.

Ezrin juga menyarankan pengusaha taska menyelidik latar belakang guru dan pengasuh yang diambil.

“Mereka juga perlu diberikan kursus pengendalian anak-anak dan guru-guru perlu diberi rehat yang cukup,” katanya antara cadangan yang dirasakan perlu dilakukan oleh setiap pengusaha taska.

Ezrin berkata ibu bapa juga perlu menyiasat atau mengenal pasti prestasi taska, guru dan pengasuh daripada ibu bapa yang menghantar anak di tempat yang sama atau jiran yang berdekatan.

“Ibu bapa juga perlu memeriksa tingkah laku anak dan membuat pemeriksaan fizikal. Selain itu, menjemput anak diluar waktu kebiasaan untuk melihat bagaimana anak-anak dijaga,” katanya.

Seorang bapa yang mahu dikenali sebagai Zakwan berkata, kebimbangan yang dihadapi adalah dari segi keselamatan anaknya yang dihantar ke taska di Shah Alam.

Beliau berkata antara langkah yang dilakukan untuk memastikan keselamatan anaknya adalah sentiasa membuat pemeriksaan ke atas taska tersebut.

“Contohnnya pergi menjenguk anak secara tiba-tiba. Selain itu sebelum pilih pengasuh, mungkin boleh tanya jiran-jiran di taska itu.

“Ibu bapa juga perlu semak dahulu sejarah taska atau pengasuh dan wajibkan pasang CCTV. Minta kunjungan daripada pihak berwajib contohnya JKM ke taska,” katanya.

Sementara itu seorang pengusaha taska yang hanya ingin dikenali sebagai Zulaikha berkata baginya apa yang penting setiap pengusaha perlu menyaring pengasuh yang ingin diambil dengan teliti.

Beliau yang memiliki sebuah taska di Seri Kembangan berkata, beliau akan mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh JKM.

“Taska saya ikut SOP ditetapkan. Kita akan dapat dari kursus asuhan kanak-kanak.

“Kalau memilih pengasuh, saya akan lihat dari segi pengalaman. Yang tidak ada pengalaman saya akan beri latihan. Macam saya akan buat di rumah dulu.

“Lepas itu akan ajar satu-satu baru hantar ke kursus JKM. Kursus itu pun sesuai hanya dijalankan pada hujung minggu. Seterusnya wajib ada CCTV,” katanya.

Beliau juga tidak menolak sikap pengasuh yang tidak mempunyai jiwa dengan kanak-kanak antara punca berlakunya penderaan di taska.

“Sikap pengasuh, macam tak berminat tak ada jiwa dengan budak-budak. Kena ada jiwa kanak-kanak, sayang kanak-kanak. Perlu periksa, kena nilai lawat semua taska, buat tinjaun dan semak latar belakang taska itu.”