Insinerator: Zuraida kata timbalan tak tahu perkembangan

KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pembinaan projek insinerator Kepong digantung tetapi timbalannya, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad tidak mengetahui perkembangan terbaharu.

Zuraida berkata kementerian sudah memutuskan pembinaan pembakar sampah itu digantung bagi memberi peluang kepada kerajaan mencari alternatif mesra alam.

Sebelum ini Raja Kamarul menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng minggu lepas berkata projek tersebut diteruskan.

“Dia tidak sempat untuk mengetahui perkembangan terbaru daripada taklimat berkenaan isu ini,” kata Zuraida, dan menambah taklimat itu diadakan sehari sebelum sesi Parlimen.

Beliau berkata 3 insinerator lain, iaitu di Cameron Highlands, Tioman dan Langkawi diteruskan kerana ia sudah dipasang dan beroperasi.

Pembinaan insinerator di Kepong mengundang bantahan daripada aktivis alam sekitar yang mendesak projek itu dihentikan demi keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar.

Dalam jawapan bertulis 16 Ogos lepas, kementerian berkata keputusan meneruskan projek itu atas sebab ia akan mengurangkan kebergantungan kepada tanah timbus di Bukit Tagar.

Kumpulan penduduk, Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator, menyerahkan memorandum kepada menteri membantah pembinaan insinerator di Taman Beringin, Kepong sehari sebelum itu.

Projek insinerator itu dihidupkan semula pada 2017 selepas proses tender sebelum itu dibatalkan pada 2015.