Menteri saran projek kereta nasional ke-3 teroka kenderaan jimat tenaga

Xavier Jayakumar berkata, evolusi kenderaan menggunakan bahan bakar fosil kepada EV sudah bermula dan perlumbaan Formula E semakin mendapat tempat di hati peminat. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar hari ini mengesyorkan projek kereta nasional ke-3 menerokai kenderaan jimat tenaga sebagai pelaburan terasnya.

Beliau berkata, bahan bakar fosil mungkin boleh bertahan 25 tahun lagi atau kurang daripada tempoh itu, jadi wujud keperluan melakukan perubahan segera dalam usaha beralih kepada penggunaan tenaga lebih lestari.

“Pengeluar kenderaan seperti BMW, Mercedes, Porsche dan Nissan semuanya telah mengeluarkan kereta bandwagon elektrik dalam usaha untuk menerokai pemasaran dan pengkomersialan sebagai pilihan jangka panjang,” katanya dalam kenyataan.

“Untuk masa depan, pastinya pilihan ialah kenderaan elektrik (EV). Evolusi kenderaan menggunakan bahan bakar fosil kepada EV telahpun bermula. Ketika ini, semasa dunia terus menonton perlumbaan F1, Formula E-racing semakin mendapat tempat di hati peminat.

“Bagi saya ini cara berdaya maju ‘untuk masa depan’. Oleh itu, saya pasti manfaat mempunyai kereta nasional ke-3 jelas akan mengatasi sebarang kekurangannya.”

Jika EV dikeluarkan secara besar-besaran di sini pada masa depan, Xavier berkata, lebih ramai orang akan mempunyai pilihan beralih kepada kenderaan lebih mesra alam sekitar pada harga mampu milik.

“Pembelajaran teknologi baru akan mendorong generasi muda untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang itu dan Malaysia boleh menjadi peneraju dalam segmen automobil, itu bukan sahaja di rantau ini, tetapi juga peringkat global.

“Industri kereta EV secara relatifnya adalah bidang baru dengan Elon Musk’s Tesla menerajuinya pada ketika ini. Peluang untuk menarik golongan belia kita menceburi dan mengembangkannya tiada had. Biar kerajaan menerajui idea ini.”

Katanya, sejak Tun Dr Mahathir Mohamad mentadbir, beliau menyuarakan hasratnya untuk memperkenalkan kereta nasional ke-3 dalam usaha merangsang dan meningkatkan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, hasrat perdana menteri itu dikritik berikutan prestasi keseluruhan Proton, kereta nasional pertama yang diilhamkannya.

Xavier berkata, baru-baru ini dilaporkan 2 syarikat China bersedia melabur sehingga AS$10 bilion (RM41 bilion) untuk memulakan projek itu bagi 5 tahun pertama.

Selain itu, katanya, cadangan Dr Mahathir turut menarik minat beberapa pengeluar kereta Jepun seperti Toyota dan Nissan.

“Pada pendapat saya, sekiranya urusan itu berjaya, ia akan memanfaatkan negara dan rakyatnya untuk jangka panjang,” katanya.