Menteri: Syarikat China labur RM1 bilion bina kilang gelatin halal di Melaka

Mohd Redzuan Md Yusof berkata, Aminbio sedang berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka untuk mengenal pasti tapak sesuai bagi projek pelaburan itu.

SEPANG: Kunjungan rasmi pertama Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof ke China meraih pelbagai hasil positif, termasuk pelaburan lebih RM1 bilion oleh syarikat pembuat gelatin terbesar di wilayah Gansu untuk membina kilang bio-gelatin halal di Melaka.

Beliau berkata, pelaburan itu adalah hasil pertemuannya dengan Naib Presiden Gansu Amin Bio Halal Gelatine Co Ltd (Aminbio), Ayub Su, Jumaat lalu, yang turut disertai wakil Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.

Katanya, pelaburan Aminbio terbahagi kepada 2 fasa, di mana fasa pertama membabitkan pelaburan RM120 juta yang akan mewujudkan kira-kira 200 peluang pekerjaan, manakala fasa ke-2 merangkumi pelaburan RM900 juta dan tambahan 2,000 peluang pekerjaan.

“Apabila ini direalisasikan, ia akan menjadi kilang pertama syarikat itu di luar China dan terbesar di Asia Tenggara.

“Aminbio sedang berbincang dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka untuk mengenal pasti tapak sesuai bagi projek pelaburan ini,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, sekembalinya dari lawatan rasmi di China, hari ini.

Redzuan menemui pelabur berpotensi di China, ketika beliau bersama beberapa menteri mengiringi Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan rasmi 5 hari ke negara itu mulai Jumaat lalu, selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum ke-14 lalu.

Turut serta dalam delegasi itu adalah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Menteri di Jabatan Perdana Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Redzuan berkata, beliau menemui wakil Longi Solar, antara pengeluar panel solar terbesar di dunia untuk membincangkan rancangan mengembangkan operasinya di Malaysia.

“Ketika ini, kilang syarikat itu di Kuching mengambil lebih 2,000 rakyat Malaysia dan nilai eksportnya mencecah AS$240 juta setahun.”

Katanya, Beijing Sanju Environmental Protection & New Materials Co Ltd juga berminat membina sebuah kilang di Malaysia untuk menghasilkan biobahan api dan baja menggunakan sisa buangan kelapa sawit, termasuk hampas tempurung, serabut, tandan kosong dan bahan buangan sawit sisa kilang (POME).

“Pelaburan itu dianggarkan bernilai AS$200 juta untuk membina kemudahan pemprosesan bahan buangan 400,000 tan,” katanya sambil menambah kehadiran Sanju di Malaysia akan memanfaatkan keseluruhan rantaian bekalan kelapa sawit, khasnya pekebun kecil.

Beliau turut berbincang dengan China Solid State Lighting Alliance (CSA), Ahad lalu, berhubung peluang kerjasama dengan universiti penyelidikan Malaysia dari segi perkongsian kepakaran dan pengetahuan teknikal untuk membangunkan sektor pencahayaan lampu padat (SSL) serta usahawan negara ini.

Katanya, NVC Lighting Holding Limited pula menawarkan lampu diod pemancar cahaya (LED) mampu menjimatkan kos elektrik kepada Melaka tanpa sebarang kos.

Redzuan berkata, usahawan Malaysia dan pelabur China perlu menjalin hubungan saling menguntungkan untuk penyumberan bahan mentah serta bakat tempatan.

Beliau turut meneroka kemungkinan pelabur mendapatkan sumber daripada usahawan Malaysia, khasnya dalam sektor bernilai tambah tinggi seperti produk halal, komponen automotif serta elektrik dan elektronik.