Pemandu bas RapidKL mengaku ambil dadah ketika langgar 7 kenderaan

Md Khairol Anuar Mohamad didakwa mengambil dadah jenis metamfetamina pada Khamis lalu.

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu bas RapidKL yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengaku bersalah mengambil dadah ketika terbabit dalam kemalangan melanggar 7 kenderaan di Jalan Ampang, Khamis lalu.

Tertuduh, Md Khairol Anuar Mohamad, 32, membuat pengakuan itu di depan Majistret Noorasyikin Sahat selepas pertuduhan dibacakan.

Dia didakwa memasukkan dadah jenis metamfetamina ke badannya, di tandas Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, pada 7.40 malam 17 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rasid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret menetapkan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Hukuman ke atas tertuduh ditangguhkan sementara menunggu laporan ujian air kencing dan majistret menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes.

Isteri tertuduh turut hadir di mahkamah dan akan membayar wang jaminan itu selepas kaunter bayaran dibuka 2.30 petang ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam 16 Ogos lalu, 7 kenderaan rosak teruk selepas dirempuh bas RapidKL dipandu Khairol yang disyaki cuba melarikan diri daripada satu kemalangan kecil di Taman Keramat.

Dia meneruskan perjalanan dari Tamat Keramat ke Jalan Ampang dan melanggar beberapa kenderaan dalam perjalanannya.

Dia yang cedera di bahagian kepala ditahan Jumaat lalu, ketika menerima rawatan di Hospital Ampang.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim dilaporkan berkata, tertuduh didapati positif dadah jenis metamfetamina ketika terbabit dalam kemalangan itu.