Perarakan merdeka jejas hampir 500 penerbangan di KLIA, klia2

Penutupan ruang udara di sekitar KLIA dan klia2 bertujuan memberi laluan kepada raptai, latihan serta ‘flypast’ sebenar. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Kira-kira 500 penerbangan akan terjejas berikutan penutupan ruang udara sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) selama 5 hari, bermula 27 Ogos ini untuk pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2018.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pengangkutan berkata, penerbangan yang terjejas termasuk yang akan tiba dan berlepas dari KLIA dan klia2 dalam tempoh tertentu bermula 27 hingga 31 Ogos antara 9 pagi hingga 10.30 pagi, bagi tujuan raptai, latihan dan “flypast” sebenar.

Berikutan kedudukan Putrajaya yang begitu hampir dengan KLIA dan klia2, Kementerian Pengangkutan berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarah menutup ruang udara di sekitar KLIA dan klia2 serta kawasan berhampiran.

“Penutupan sementara ruang udara KLIA dan klia2 adalah penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan ‘flypast’ Hari Kebangsaan 2018, dan paling utama adalah memastikan keselamatan ruang udara dan peramalan pergerakan pesawat berjadual di KLIA dan klia2.

“Oleh yang demikian, Kementerian Pengangkutan dan CAAM ingin mengingatkan syarikat penerbangan supaya mengemas kini maklumat penerbangan yang terjejas dan memaklumkan penumpang terlebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini akan menampilkan pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan beberapa agensi penguatkuasaan lain.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pengangkutan dan CAAM turut menyeru orang ramai, khususnya yang akan membuat perjalanan melalui udara pada tarikh itu mengambil maklum akan penutupan ini dan sentiasa berhubung dengan syarikat penerbangan serta pengendali lapangan terbang bagi mendapatkan maklumat dan jadual penerbangan terkini.

“CAAM komited memastikan kelancaran ‘flypast’ Hari Kebangsaan 2018 di sini bagi mengelakkan kesulitan orang ramai, terutama penumpang pesawat di KLIA dan klia2.”

Kenyataan itu berkata, CAAM mengadakan beberapa sesi taklimat dengan semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada Jawatankuasa Penganjur Hari Kebangsaan 2018, TUDM sebagai penyelaras “flypast”, syarikat penerbangan domestik, Jawatankuasa Pengendali Penerbangan (AOC) dan Koordinasi Slot Negara Malaysia (NSCM) pada 2 Ogos lalu.

Menurutnya, taklimat ini bertujuan membuat persiapan rapi bagi mengurangkan kesan penutupan ruang udara KLIA dan klia2 sementara kepada syarikat penerbangan yang akan menjejaskan operasi mereka, dan lebih utama lagi meminimumkan kesulitan kepada penumpang.

Katanya, CAAM mengeluarkan Notis kepada Anggota Penerbangan (NOTAM) bertarikh 6 Ogos untuk memberi makluman kepada industri penerbangan yang beroperasi di KLIA dan klia2 berhubung penutupan ruang udara sementara dan kemungkinan beberapa sekatan tambahan kepada beberapa penerbangan yang tiba dan berlepas yang mungkin mengakibatkan penangguhan pesawat.

“Sungguhpun ‘flypast’ Hari Kebangsaan 2018 turut menjejaskan operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (LTSAAS), CAAM akan memastikan pergerakan lalu lintas udara yang selamat dan efisien tanpa perlu menutup ruang udara di sekitar LTSAAS Subang.”