Petronas tak bankrap beri 20% royalti kepada kami, kata Shafie

Shafie Apdal berkata, Sabah menghasilkan hampir separuh daripada minyak mentah di negara ini dan mereka perlu mendapat bahagian adil untuk sumber itu. (Gambar Bernama)

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) tidak akan bankrap jika ia memberi Sabah dan negeri pengeluar minyak lain 20% daripada pengeluaran petroleum kasar berbanding 5% ketika ini.

Katanya, pada 2013 sahaja, syarikat minyak negara itu memberi dividen sebanyak RM32 bilion kepada kerajaan persekutuan.

“Itu hanya satu daripada pemberian Petronas kepada kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan juga mendapat 5% bahagian daripada pengeluaran kasar dan juga cukai korporat.

“Sabah hanya mendapat 5% daripada pengeluaran kasar.

“Kami tak kisah berkongsi sumber kami, tetapi ia adalah hakikat Sabah mengeluarkan hampir separuh daripada minyak mentah di negara ini. Jadi, kenapa kami tidak boleh mendapat bahagian adil untuk sumber itu?” katanya dalam majlis meraikan 100 hari pentadbiran kerajaan baru pimpinannya hari ini.

Shafie berkata, Sabah mahu mendapatkan 20% royalti minyak berdasarkan pengeluaran kasar, bukannya keuntungan bersih daripada Petronas kerana ini adalah satu daripada janji dalam manifesto mereka dan beliau sudah menemui Petronas untuk menyuarakan permintaan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan tugas mudah kerana isu itu timbul selama berdekad.

Walaupun kerajaan persekutuan melalu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi mengumumkan ia akan memberi royalti 20% kepada negeri pengeluar minyak, kuantum itu berdasarkan keuntungan bersih, bukannya jumlah hasil pengeluaran kasar.

Shafie berkata, keputusan itu tidak sejajar tuntutan rakyat Sabah.

Oleh itu, katanya, beliau akan menemui Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad untuk membincangkan isu itu.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga berusaha mendapatkan kembali 40% pendapatan bersih Sabah daripada kerajaan persekutuan, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kami membuat tuntutan ini kerana Sabah sebagai salah sebuah negeri terbesar, memerlukan lebih banyak wang untuk membangun dan memastikan kami boleh menyediakan pekerjaan bagi rakyat kami.

“Beli akami perlu berhijrah untuk mencari kerja kerana kami tidak mempunyai pekerjaan mencukupi di Sabah.

“Dengan adanya wang ini, kami boleh menyelesaikan banyak perkara. Kami boleh menubuhkan industri di sini dan memberi kerja kepada rakyat kami.”

Mengulas 100 hari pentadbiran kerajaan negeri, Shafie berkata, beliau sedar banyak janji ketika pilihan raya umum lalu tidak boleh dipenuhi segera atau dalam tempoh 100 hari.

Bagaimanapun, katanya, dalam jangka masa singkat ini, kerajaannya berjaya melaksanakan banyak perkara walaupun berdepan pelbagai halangan, khasnya masalah kewangan dan pentadbiran tidak cekap ditinggalkan kerajaan negeri terdahulu.

Parti Warisan Sabah yang mengetuai gabungan beberapa parti di Sabah, membuat 13 janji utama dalam manifestonya yang dibahagikan kepada 4 komponen utama.

Ia membabitkan hak rakyat dan enakmen di bawah kerajaan negeri yang perlu dipertahan serta dikekalkan; menangani kekurangan dalam kerajaan; merangka pelan pembangunan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kecekapan penjawat awam berkhidmat kepada rakyat.

“Kami berjaya melakukan sesuatu untuk memperkasakan autonomi Sabah dalam pendidikan dengan menubuhkan Kementerian Pendidikan dan Inovasi. Kami turut menubuhkan Kementerian Kesihatan.

“Kedua-dua kementerian ini penting untuk melengkapkan tugas dan peranan rakan sejawatan di peringkat persekutuan.

“Kementerian persekutuan ini boleh bergantung kepada kementerian negeri yang lebih mengetahui keperluan rakyat di Sabah.”

Dari segi pendidikan, Shafie menjangkakan Sabah mempunyai lebih ramai pekerja mahir yang sedia diambil bekerja berbanding institusi yang ditubuhkan untuk melahirkan pemegang ijazah sarjana dan kedoktoran (PhD).

Katanya, sistem kesihatan di Sabah memerlukan baik pulih besar-besaran kerana kerajaan negeri mahu memastikan masyarakat lebih sihat untuk membantu pembangunan negeri itu.

Shafie berkata, kerajaan negeri sudah mengotakan janjinya untuk menghapuskan geran tanah komunal dan menggantikannya dengan pemberian geran individu secara terus.

“Bagi mereka yang sudah berada dalam sistem geran komunal, kami akan membahagikan geran itu dan melakukan kajian baru supaya mereka diberikan tanah di bawah nama sendiri.

“Mereka yang sudah bekerjasama dengan kontraktor untuk membangunkan tanah mereka akan terus berbuat demikian, kami tidak akan memaksa orang lain melakukan perkara sama.

“Mereka yang mahu membangunkan tanah sendiri dialu-alukan untuk berbuat demikian.”

Sebelum ini, mereka yang di bawah sistem geran komunal dilaporkan terpaksa menjalin usaha sama dengan kontraktor yang biasanya dilantik kerajaan negeri untuk membangunkan tanah mereka bagi penanaman kelapa sawit atau getah.

Penerima geran komunal tidak mempunyai geran tanah individu kerana geran itu akan kekal dengan kerajaan negeri.

Sistem itu dikritik aktivis yang mendakwa kerajaan akan memasukkan nama orang luar dalam senarai benefisiari dan menafikan hak penduduk asal yang hidup selama beberapa generasi di kawasan itu.