Polis: Kehilangan alat radioaktif tiada kaitan aktiviti keganasan

Mazlan Mansor berkata, polis sedang bekerjasama dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom untuk mengesan suspek dan projektor yang hilang itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor mengesahkan kehilangan alat radioaktif perindustrian (RDD) sejak 10 Ogos lalu tiada kaitan dengan sebarang aktiviti keganasan.

Beliau berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) untuk mengesan suspek dan projektor yang hilang itu.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana curi.

“Polis meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kejadian ini secara terus kepada pegawai penyiasat Yong Meng Heng di talian 019-4743399 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, New Straits Times melaporkan AELB dan polis sedang menyiasat kehilangan RDD itu yang berharga kira-kira RM75,000 milik sebuah syarikat di Shah Alam, ketika ia dibawa pulang dari Seremban ke Shah Alam.

Akhbar itu memetik pakar kaji logam, Abd Nassir Ibrahim yang juga pengarah urusan Pusat Latihan Madani NDT sebagai berkata, alat itu digunakan dalam pelbagai projek kejuruteraan, termasuk membina dan menyelenggara loji jana kuasa, kimia dan petrokimia serta kilang kenderaan.

RDD yang mengandungi isotop radioaktif, iaitu Iridium 192 dilaporkan hilang pada 10 Ogos lalu.

Alat yang memancarkan radiasi Beta dan Gamma itu dikhuatiri disalah guna pihak lain, termasuk pengganas untuk membuat bom.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kehilangan RDD itu bukan kejadian pertama kerana kes sama pernah dilaporkan tahun lalu.

Sementara itu, Mazlan berkata, mereka yang terdedah kepada RDD akan mengalami beberapa gejala, termasuk kulit terbakar.

“Ia berupaya membawa kesan sinaran kepada manusia, bergantung pada tahap dedahan dos yang diterima.

“Jika seseorang terdedah dengan aktiviti sebanyak 50 ‘Curie’ lebih kurang 120 minit pada jarak 1m tanpa perisian, individu berkenaan akan menerima dedahan sekitar 500 millisievert (mSv).

“Sekiranya dos yang diterima kurang atau bersamaan dengan 500 mSv, kesan awal adalah seperti pening, muntah dan loya. Sekiranya lebih 500 mSv, kesan deterministik seperti kulit terbakar akan berlaku kepada penerima dos berkenaan.”