Polis Satun bebas 4 nelayan Langkawi diculik kumpulan bersenjata

Sekumpulan nelayan tempatan dilaporkan ditawan, dirompak dan diculik sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali berhampiran Pulau Langgun, Langkawi. (Bernama pic)

BANGKOK: Polis wilayah Satun telah membebaskan dan menghantar pulang 4 nelayan Langkawi yang didakwa diculik sekumpulan lelaki bersenjata di perairan Pulau Langgun, berhampiran pulau pelancongan itu.

Ketuanya Mej Jen Suphawat Tapkiew berkata semua nelayan itu dibebaskan di jeti feri Tammalang Satun kira-kira 11.00 malam (waktu tempatan) semalam untuk kembali ke Langkawi.

“Empat nelayan Malaysia itu dibebaskan selaras persetujuan selepas perbincangan antara pihak berkuasa yang berkaitan dari Thailand dan Malaysia untuk mencari penyelesaian,” katanya kepada Bernama hari ini, sambil menambah perbincangan semalam dipengerusikan Gabenor Satun Pattarapon Rattanapichetchai.

Bernama difahamkan perbincangan itu juga melibatkan pegawai dari pejabat Konsulat Jeneral Malaysia yang berpangkalan di Songkla.

Beliau berkata pihaknya menjangka 3 pegawai polis Thai dan timbalan ketua kampung yang kini sedang ditahan pihak berkuasa Malaysia akan dibebaskan dan kembali ke negara itu tidak lama lagi sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Semua 3 pegawai polis itu bertugas di Balai Polis Mueng di Satun, katanya sambil menambah semua empat nelayan Malaysia itu dibebaskan setelah kenyataan mereka diambil.

Suphawat yakin semua masalah akan selesai sebaik 3 pegawai polis Thailand bersama timbalan ketua kampung bebas dan kembali ke pangkuan ahli keluarga.

Menurut media, Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi menyelamatkan sekumpulan nelayan tempatan yang ditawan, dirompak dan diculik oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang tidak dikenali berhampiran Pulau Langgun, Langkawi, 2 hari lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Zainal Abidin Kasim berkata PPM menerima maklumat nelayan di perairan Teluk Palam dihampiri sekumpulan lelaki bersenjata sebelum diarahkan untuk memasuki perairan negara jiran pada 8.33 pagi.

Bertindak atas maklumat itu, PPM kemudian melancarkan operasi menyelamat yang menemukan 2 perahu milik kumpulan bersenjata itu bersama 4 lelaki warga Thailand.

Pada pertemuan semalam, Suphawat berkata pegawai Malaysia mencadangkan agar pihak berkuasa Thailand menulis surat rasmi memohon pembebasan warganya yang ditahan untuk kembali ke Thailand.

Pegawai Malaysia terlibat, katanya akan membantu mempercepatkan proses penghantaran pulang semua 4 lelaki Thailand yang sedang ditahan.

Beliau berkata pihaknya akan meneruskan siasatan dan menggantung 7 anggota polisnya, termasuk 3 yang kini ditahan pihak berkuasa Malaysia, kerana didakwa terlibat dalam rompakan berhampiran Pulau Langgun, Langkawi.

Ketiga-tiga anggota polis itu dan timbalan ketua kampung terlibat ditahan di Kedah manakala senjata api mereka turut dirampas.

“Semuanya akan dilaksanakan mengikut undang-undang, jika mereka (anggota polis Thailand) tidak melakukan sebarang kesalahan, mereka akan kembali bertugas. Proses ini akan mengambil masa kerana ia adalah isu sensitif,” katanya.