
PETALING JAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini berkata polis sudah mengambil keterangannya berhubung dakwaan kehilangan RM19.25 bilion dalam akaun amanah GST.
Sekarang, Lim mendesak Najib Razak untuk menjawab 3 soalan yang diajukan sebelum ini mengenai peranannya sebagai menteri kewangan dalam kes itu.
“Jawapan kepada 3 soalan penting itu akan dapat memberikan pencerahan perundangan tentang peranan Najib kerana hanya menteri kewangan mempunyai kuasa untuk meluluskan atau tidak pemindahan wang RM19.4 bilion ke dalam Tabung Bayaran Balik GST,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lim mengingatkan bayaran balik untuk cukai input yang dituntut mesti dibayar dalam tempoh 2 minggu, mengikut Akta GST 2014, dan menambah Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara bagi kesalahan pecah amanah.
“Barang siapa yang telah diberi amanah terhadap sesuatu harta, atau kawalan terhadap harta, dalam kapasitinya sebagai penjawat awam atau ejen telah melakukan pecah amanah jenayah mengenai harta itu hendaklah dihukum penjara bagi tempoh tidak kurang dari 2 tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dan dengan hukuman sebatan dan denda,” katanya.
Sebelum ini, Lim mencetuskan gempar di Dewan Rakyat apabila dia menuduh BN “rompak” wang tuntutan GST daripada Kumpulan Wang Disatukan dan menyebabkan kekurangan sebanyak RM19 bilion yang tidak dibayar kepada para peniaga sejak 2015.
Jumlah wang perlu dibayar balik adalah RM9.2 bilion pada 2018, RM6.8 bilion pada 2017, RM2.8 bilion pada 2016 dan RM600 juta pada 2015.
Lim berkata kastam mengesahkan bayaran balik GST berjumlah RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018 tetapi akaun amanah itu hanya mempunyai RM1.4 bilion.
Najib berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) berlindung sebalik kekebalan Parlimen dan menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam menyiasat dakwaan itu.
Bekas perdana menteri berkata kerajaan PH menyalahkan kegagalannya melaksanakan janji manifesto pilihan raya ke atas pentadbiran Barisan Nasional (BN) lepas.
Beliau juga meminta rakyat bersedia menghadapi cukai baharu yang akan kerajaan perlu perkenalkan bagi menggantikan kekurangan akibat pemansuhan GST.
Lim berkata Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam mengesahkan kekurangan RM19.25 bilion itu tidak dipindahkan ke akaun amanah GST dalam mesyuarat bulanan yang dipengerusikan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Irwan Serigar.
Tiga soalan yang diajukan Lim kepada Najib adalah:
Adakah Najib meluluskan keputusan agar pembayaran balik GST tidak dibuat dalam masa 2 minggu seperti yang ditetapkan undang-undang?
Adakah Najib meluluskan keputusan yang dibuat oleh Irwan untuk tidak memindahkan keseluruhan jumlah RM82.9 bilion seperti yang diminta kastam, tetapi hanya memindahkan RM63.5 bilion sejak tahun 2015; yakni kekurangan pemindahan dana sebanyak RM19.25 bilion kepada Tabung Bayaran Balik GST?
Adakah Najib memberikan kelulusan agar jumlah pembayaran balik GST yang tidak dikembalikan sejak tahun 2015 dianggap sebagai hasil pendapatan kerajaan untuk digunakan secara sesuka hati?