SPRM siasat beberapa pegawai kanan Jabatan Perhutanan Sabah

Azam Baki berkata, SPRM sedang menyiasat beberapa pegawai kanan JPS di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi sekitar Sabah semalam bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan kes rasuah melibatkan Jabatan Perhutanan Sabah (JPS).

Sumber berkata, operasi itu disertai kira-kira 40 pegawai SPRM mulai 9.30 pagi di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Tambunan.

Mereka merampas dokumen dalam rumah seorang pegawai kanan JPS di Sandakan.

“Antara dokumen-dokumen yang diambil daripada rumah dan pejabat suspek-suspek disyaki itu ialah dokumen Jabatan Perhutanan serta dokumen kewangan syarikat yang memperoleh projek daripada JPS,” katanya hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan itu.

Beliau berkata, pihaknya sedang menyiasat beberapa pegawai kanan JPS di bawah Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.