Tahniah kerana mohon maaf, Zuraida beritahu Abdullah Sani

KUALA LUMPUR: Zuraida Kamaruddin mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Kapar kerana memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mendakwa ada konspirasi menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Ketua Wanita PKR itu berharap Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid tidak akan sewenang-wenangnya menuduh perdana menteri di masa depan.

“Saya ucapkan syabas sebab beliau membuat kenyataan memohon maaf. Saya harap ianya tidak akan berulang lagi,” katanya pada sidang media selepas majlis Kibarkan Jalur Gemilang hari ini.

Abdullah membuat permohonan maaf itu pada satu sidang media pagi tadi. Beliau dalam satu ceramah sebelum ini mendakwa Dr Mahathir dan ketua Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin cuba menghalang peralihan kuasa kepada Anwar.

Peralihan kuasa itu dipersetujui Pakatan Harapan sebelum pilihan raya umum ke-14.

Ditanya adakah Abdullah Sani juga perlu memohon maaf kepada Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali, Zuraida berkata perkara itu bergantung kepada keputusan jawatankuasa disiplin.

Abdullah sebelum ini mendakwa Anwar akan berdepan masalah mengambil alih jawatan perdana menteri jika Rafizi Ramli gagal menewaskan Azmin dalam pemilihan timbalan presiden akan datang.

“Jika ada keperluan untuk beliau membuat permohonan maaf, jika perlu, saya kira kita teruskan. Jika tidak, tidak perlu teruskan,” katanya.