Exco perlu berhati-hati ulas isu, kata MB Perak

Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan mengadakan bengkel untuk mencari jalan dalam melaksanakan manisfesto PH di Perak termasuk membincangkan isu tanah. (Gambar Bernama)

TAPAH: Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu hari ini mengingatkan anggota Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) agar berhati-hati dalam mengulas sebarang isu agar tidak bertentangan dengan kepimpinan kerajaan.

Beliau juga berkata sebaiknya Exco mengemukakan pandangan mereka pada mesyuarat dan bukan secara terbuka kepada media khususnya berhubung isu sensitif seperti pemilikan tanah 999 tahun untuk kampung baru.

“Saya rasa disiplin sebagai Exco perlu dibaiki dan masing-masing perlu faham bila masanya kita perlu keluarkan pandangan dan sebagainya… bukan semua perkara kita boleh sebut sesuka hati.

“Tapi saya fikir ini pengalaman baru bagi ramai orang termasuk saya. Perkara ini boleh dibaiki dan jangan tunjuk perbalahan dan perbezaan ini secara terbuka kepada umum, ini kurang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis korban di Masjid Al-Mukmin di Kampung Batu 3 di sini.

Mengulas perkembangan berkaitan, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri akan mengadakan bengkel untuk mencari jalan dalam melaksanakan manisfesto Pakatan Harapan di Perak termasuk membincangkan isu tanah tersebut.

Katanya bengkel tersebut akan disertai mereka yang pakar termasuk dalam perlembagaan dan bekas pegawai tinggi kerajaan.

Ini kerana katanya terdapat pandangan berbeza berhubung isu tanah tersebut termasuk yang mengatakan langkah memberikan hak milik 999 tahun kepada penduduk kampung baru melanggar Perlembagaan Persekutuan.