Hapus tol: Dr M boleh runding dengan syarikat konsesi, kata bekas menteri

Gambar Bernama.

PETALING JAYA: Tidak timbul isu kutipan tol tidak boleh dihapuskan akibat pampasan mahal kerana Tun Dr Mahathir Mohamad boleh berunding dengan syarikat konsesi untuk menyelesaikan masalah itu, kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, Dr Mahathir yang memperkenalkan kutipan tol di Malaysia ketika menerajui negara selama 22 tahun, oleh itu beliau sepatutnya tahu cara menilai semula perjanjian konsesi untuk memansuhkan tol.

Pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional itu mencadangkan perdana menteri berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) yang mempunyai kepentingan dalam syarikat konsesi lebuh raya.

“Sebenarnya, apa konsesi yang tidak boleh dirunding semula?

“Boleh, terutamanya bila dah jadi perdana menteri. Soalnya nak atau tidak sahaja,” katanya kepada FMT.

KWSP memilliki 49% pegangan dalam syarikat lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd pula memiliki ekuiti selebihnya.

Syarikat lebuh raya tol ke-2 terbesar di Malaysia, Prolintas pula dimiliki sepenuhnya oleh PNB.

Kerajaan Selangor melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor mempunyai 30% saham dalam Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn Bhd (Kesas), manakala 20% saham dalam Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) melalui Kumpulan Perangsang.

Rahman mencabar kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji memansuhkan kutipan tol dengan segera kerana mereka pernah mendakwa tol sebagai punca kenaikan kos sara hidup rakyat ketika Barisan Nasional memerintah negara.

Katanya, PH kini boleh membuktikan “keprihatinan mereka dahulu” kepada rakyat dengan melaksanakan manifesto pilihan raya umum ke-14 lalu.

“Mereka selalu mengatakan kepada kami, sewaktu kami jadi kerajaan bahawa tol ini mesti dilihat penyebab peningkatan kos sara hidup.

“Ia bukan sahaja kos biasa, tapi kos sara hidup, maknanya harga barang pun naik sebab tol, pengangkutan naik, jadi semuanya berkait.

“Jadi, kalau boleh selesaikanlah dan kotakanlah,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, penghapusan kutipan tol boleh dilaksanakan kerajaan PH secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan terpaksa menangguhkan pemansuhan tol lebuh raya kerana ia akan menyebabkan kerajaan terpaksa membayar pampasan melebihi RM400 bilion kepada syarikat konsensi.

Pada 1 Januari lalu, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Dr Mahathir “bapa segala tol” kerana mendakwa beliau “membuat perjanjian berat sebelah, menguntungkan sesetengah kroni tetapi merugikan dan menindas rakyat”.

Katanya, pemansuhan kutipan tol di Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor, Lebuhraya Penyuraian Trafik Johor Timur (EDL) dan Bukit Kayu Hitam adalah usaha Umno dan ia adalah dasar berbeza daripada pentadbiran Dr Mahathir.