Hapus tol: Pendirian CEP sama pendirian BN, kata Fadillah

PETALING JAYA: Pendirian Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) meminta kerajaan menangguhkan pemansuhan tol sama dengan pendirian kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Dari dulu saya ketika menjadi menteri kerja raya berulang kali menegaskan bahawa sukar untuk menghapuskan tol,” katanya kepada FMT.

Fadillah berkata mengambil alih semua lebuh raya pasti melibatkan pembiayaan beratus bilion ringgit. Beliau menganggarkan kos ketika itu “tidak kurang daripada RM200 bilion tetapi tidak adalah sampai RM400 bilion”.

Semalam Pengerusi CEP Tun Daim Zainuddin  berkata sebarang langkah untuk menghapuskan tol tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan kewangan sekarang.

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata berkata langkah memansuhkan tol akan melibatkan kos lebih RM400 bilion untuk dilaksanakan.

Fadillah berkata pentadbiran lepas melihat beberapa perkara sebelum membuat keputusan seperti kemampuan kerajaan dan kepentingan pengguna serta syarikat-syarikat konsesi.

“Pemegang saham perlukan pampasan untuk bayar pinjaman dan juga ‘return of investment’,” katanya.

Dalam lebuh raya PLUS Malaysia Bhd sahaja, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memiliki 49% pegangan, manakala UEM Group Bhd, iaitu unit Khazanah Nasional Bhd, memiliki ekuiti selebihnya, menurut laporan media sebelum ini.

Fadillah berkata kerajaan Selangor juga ada saham dalam syarikat konsesi.

Media melaporkan Selangor mempunyai 30% saham dalam Konsortium Expressway Shah Alam Selangor Sdn Bhd (Kesas) melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, dan 20% saham dalam Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (Sprint) dan Lingkaran Trans Kota Holdings Bhd (Litrak) melalui Kumpulan Perangsang.

Fadillah berkata selepas mengambil kira kesukaran-kesukaran terlibat, pentadbiran lepas mengambil keputusan untuk menamatkan beberapa tol lebih awal, selain mengumumkan tiada kenaikan tol untuk 2 tahun sehingga 2018.

“Kerajaan sebelum ini dari semasa ke semasa mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi, pemegang bon dan pembiaya projek lebuh raya,” katanya.