Henti insinerator, langkah terbaik elak kemudaratan rakyat

Kempen kesedaran penting untuk memupuk masyarakat memahami kaedah tepat menguruskan sampah pepejal bermula dari rumah. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pakar ekologi dan aktivis alam sekitar Andrew Sebastian berkata, keputusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantung pembinaan projek insinerator di Kepong adalah tepat demi kebaikan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk sekitar kawasan itu.

Ketika dihubungi FMT hari ini beliau berkata, projek insinerator memang patut dihentikan dan menggesa pihak kerajaan mencari pendekatan baru dalam usaha menyelesaikan isu pelupusan sampah di negara ini.

“Masalah sampah pepejal ini perlu diatasi dengan pendekatan baru. Kita tidak boleh lagi bergantung dengan insinerator yamg mungkin tidak dapat kita selenggarakan dengan baik.

“Kewujudan insinerator yang tidak diselenggara dengan baik akan memudaratkan kesihatan penduduk apabila sampah sarap yang bertimbun boleh mengundang pelbagai jenis haiwan dan makhluk perosak seperti tikus, lalat dan sebagainya,” katanya.

Berhubung pendekatan baru yang boleh membantu kerajaan menyelesaikan isu pengurusan sampah, Andrew berkata, kempen kesedaran adalah penting untuk memupuk masyarakat memahami kaedah tepat menguruskan sampah pepejal bermula rumah.

“Bukan sahaja kempen kitar semula, tetapi kempen kesedaran tentang bagaimana kita menguruskan sisa pepejal (basah) di rumah juga harus diberikan penekanan.

“Memperkenalkan penguatkuasaan undang-undang yang baru juga perlu berhubung kaedah pengurusan sampah yang lebih sistematik. Dengan kepakaran kejuruteraan yang sedia ada, mungkin penggunaan insinerator dalam skala lebih kecil boleh dikaji semula demi keselamatan rakyat sekitarnya,” kata beliau.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang mengatakan pembinaan insinerator di Kepong akan dihentikan bagi memberi ruang kepada pihak kerajaan mencari alternatif lain yang lebih mesra alam dalam menyelesaikan isu pengurusan sampah.

Pembinaan insinerator di Kepong mendapat tentangan hebat daripada pihak aktivis alam sekitar yang mendesak projek iti dihentikan deku kebaikan, keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Sekitar (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, pihaknya menyokong keputusan tersebut namun kecewa dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas kegagalan melaksanakan kempen Kurangkan, Guna semula dan Kitar semula (3R) seperti yang dianjurkan beberapa tahun lalu.

“Peka memuji usaha DBKL itu dan berharap mereka menangani inisiatif 3R dengan lebih serius. Hanya pelaksanaannya yang betul, dengan penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan awam, isu ini boleh ditangani dengan jaya.

Shariffa berkata, Peka bercadang memanggil wakil DBKL untuk membincangkan usaha meneruskan program 3R pada masa akan datang.

“Ia haruslah dibuat secara bersungguh-sungguh dan keazaman yang tinggi bagi memastikan ia berjaya,” katanya.