Jangan harap harga barang akan turun selepas SST

Meskipun cukai barang dan perkhidmatan (GST) disifarkan sejak 1 Jun lalu, harga barangan masih tidak turun, malah ada barangan yang naik harga.

Namun, ketika rakyat menyuarakan rintihan tersebut, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bertegas lebih 70% barang keperluan lebih murah.

Katanya, dapatan itu adalah hasil kaji selidik Majlis Harga Negara.

Dua hari lepas, rakyat mendapat cerita berbeza pula daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau akhirnya mengakui harga barangan masih tidak turun, meskipun GST telah disifarkan senada dengan rintihan rakyat. Beliau menyalahkan kuasa monopoli ke atas barangan keperluan sebagai punca harga barangan tidak turun.

Apakah nasib harga barangan ini apabila pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dikuatkuasakan pada 1 September ini?

Apakah harga barangan akan turun harga selepas terlaksananya SST seperti yang diramalkan ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, di Parlimen minggu lepas?

Ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, Pua berkata, kerajaan membuat keputusan memansuhkan GST, bukannya mengurangkan kadar kepada 3% dan sebaliknya melaksanakan SST kerana percaya harga barangan akan menjadi lebih murah dengan SST.

Apakah ada rakyat yang mempercayainya?

Persoalannya, jika GST sifar tidak dapat menurunkan harga barangan, bagaimana SST yang kadarnya 10% hingga 25% untuk cukai jualan dan 6% untuk cukai perkhidmatan boleh membantu mengurangkan harga barangan? Tidak diketahui sifir matematik apa yang digunakan Pua.

SST yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terkena pada beberapa sektor yang akan meningkatkan kos perniagaan dan sara hidup, jika dibandingkan pada tempoh GST sifar.

Contohnya, cukai perkhidmatan ke atas semua jenis servis penyelenggaraan kenderaan dan penghantaran (courier) untuk semua dokumen di bawah 30kg akan menaikkan kos pengangkutan untuk perniagaan dan pengguna.

Selain itu, cukai perkhidmatan untuk penggunaan elektrik melebihi 600 kWH, segala jenis pengiklanan dan servis IT yang digunakan akan menaikkan kos operasi sesebuah syarikat.

Pelaksanaan cukai perkhidmatan ke atas penyewaan kereta dan kereta penumpang, servis telekomunikasi, pengurusan tempat letak kereta dan pembayaran RM25 ke atas setiap kad kredit bakal ditanggung pengguna pada akhirnya.

Pendek kata, jika GST yang disifarkan gagal menurunkan harga barangan, kerajaan PH tidak boleh meletakkan harapan bahawa SST akan dapat menurunkan harga barangan.

Daripada terus menegakkan benang yang basah, lebih elok kerajaan PH bersedia mencari jalan mengawal inflasi daripada naik mendadak sejurus SST dilaksanakan.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, percayalah tiada peniaga yang akan memikirkan cara untuk menurunkan harga barangan. Tepuk dada tanya diri, siapalah yang sanggup turunkan gaji sendiri pada waktu ini?

Dengan kuasa membeli penjawat awam yang semakin kecil ekoran tiada kenaikan gaji dan bonus, kerajaan PH perlu memikirkan cara untuk memangkin pergerakan ekonomi. Menyalahkan hutang yang ditinggalkan Barisan Nasional ketika ini langsung tidak membantu.

Seperti mana-mana ketua pegawai eksekutif (CEO) baru yang dilantik, ingatlah – “You wanted the job, and you got it, with the mess that tag along too. You can blame the former CEO all you want, but that was why he was fired and you are hired. Now, it’s your job to fix it”.