Kerajaan BN gagal kembalikan cukai terlebih bayar RM16 bilion, kata Guan Eng

Guan Eng berkata, kerajaan bersetuju membenarkan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik membuat permohonan ‘set-off’ sekiranya mempunyai tanggungan cukai pada tahun semasa.

PETALING JAYA: Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar sebanyak RM16.046 bilion sehingga 31 Mei 2018.

Beliau berkata, baki kredit yang belum dibayar oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM16.046 bilion itu melibatkan sebanyak 1,653,786 syarikat, individu, persatuan dan yayasan.

“Baki tunggakan yang sebegini besar adalah disebabkan oleh kekurangan penyaluran pindahan hasil cukai langsung yang dikutip ke dalam akaun amanah Tabung Bayaran Balik Cukai (TBBC).

“Bayaran balik cukai hanya boleh dilakukan berdasarkan jumlah baki tabung tersebut. Baki yang sedia ada dalam TBBC pada 31 Mei 2018 hanya RM1.486 bilion berdasarkan rekod Jabatan Akauntan Negara.

“Amaun ini adalah jauh lebih rendah daripada keperluan jumlah bayaran balik kredit cukai sebanyak RM16.046 bilion yang sepatutnya dibayar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, ketika membentangkan Rang Undang-undang cukai barangan dan perkhidmatan (GST) (Pemansuhan) 2018 di Dewan Rakyat, Guan Eng turut mendakwa sejumlah RM18 bilion tuntutan bayar balik cukai GST “dirompak” oleh kerajaan BN sebelum ini.

Guan Eng berkata, masih wujud kekurangan RM14.56 bilion setakat 31 Mei 2018 sehingga menyebabkan 1,653,786 pembayar cukai tidak mendapat bayaran balik cukai mereka sejak lebih 6 tahun dahulu.

Kes melebihi 6 tahun mewakili 29% daripada jumlah keseluruhan kes, dengan RM3.09 bilion melibatkan syarikat, sementara bakinya RM1.503 bilion melibatkan individu, persatuan dan yayasan.

Kes antara 4 ke 5 tahun mewakili 22%, dengan RM2.759 bilion melibatkan syarikat, dan RM780 juta untuk 3 kategori lain.

Bagi kes 2 hingga 3 tahun mewakili 38% kes, dengan RM5.212 melibatkan syarikat dan RM913 juta untuk kategori lain.

Sementara kes di bawah 1 tahun mewakili 11% kes dengan RM1.356 bilion melibatkan syarikat dan RM433 juta kategori lain.

“Adalah jelas RM14.56 bilion yang tidak dipindahkan daripada Kumpulan Wang Disatukan kepada TBBC dianggap atau diiktiraf sebagai hasil kerajaan oleh kerajaan lama.

“Ini bermakna hasil kerajaan Persekutuan yang dilaporkan oleh kerajaan lama sebelum ini adalah tidak tepat dan terlebih lapor,” katanya.

Guan Eng berkata, tunggakan besar bayaran balik baki kredit sehingga melebihi 6 tahun itu berlaku kerana Jawatankuasa Pengurusan Wang Tunai Kementerian Kewangan yang dipengerusian bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar tidak memindahkan peruntukan yang mencukupi kepada TBBC seperti yang dimohon oleh LHDN.

“Seperti penjelasan saya sebelum ini, apa yang dilakukan oleh kerajaan lama merupakan pemalsuan akaun dan penyelewengan tunggakan bayaran balik baki kredit untuk kegunaan lain atau untuk menutup defisit mereka supaya dapat menunjukkan keadaan lebihan,” katanya.

Bagi meringankan beban pembayar cukai, Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju membenarkan pembayar cukai yang mempunyai kredit cukai yang perlu dibayar balik oleh LHDN membuat permohonan “set-off” sekiranya mereka mempunyai tanggungan cukai yang perlu dibayar pada tahun semasa.

“Permohonan “set-off” ini hendaklah dikemukakan kepada LHDN untuk disemak dan dipertimbangkan kelulusannya.

“Di samping itu, bayaran balik wang cukai terlebih bayar akan dibuat mengikut kemampuan kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.