Kerana saya kerajaan naikkan umur perkahwinan, kata lelaki kahwin budak 11 tahun

Che Abdul Karim berkata, perasaan rindu kepada isteri mudanya melanda selepas beliau pulang ke Thailand dan menjadi bertambah mendalam ketika menyambut Aidiladha.

PETALING JAYA: Lelaki berusia 41 tahun yang dikecam kerana bernikah dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun melahirkan rasa dukacita berhubung kontroversi yang timbul akibat pernikahannya itu.

Che Abdul Karim Che Hamid, 41, berkata kontroversi perkahwinannya itu menjadi punca kerajaan menaikkan had umur perkahwinan kepada 18 tahun.

“Dalam hal ini, saya rasa bersalah kerana semua orang terkesan disebabkan isu perkahwinan saya hingga mendorong kerajaan menaikkan had umur perkahwinan di negara ini kepada 18 tahun,” katanya lapor akhbar Berita Harian (BH) hari ini.

Pada 1 Julai lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan menyatakan kerajaan akan membentangkan pindaan bagi menaikkan had umur perkahwinan bagi perempuan daripada 16 tahun kepada 18 tahun.

Peraih getah yang berasal dari Gua Musang itu berkata, telah 2 minggu beliau tidak melihat wajah isterinya yang berasal dari Pattani, Thailand itu.

“Hanya gambar perkahwinan kami menjadi pengubat rindu kepada isteri ketiga saya,” katanya yang berkahwin dengan kanak-kanak itu pada Jun lalu.

Beliau berkata, perasaan rindu kepada isteri mudanya yang dikenali sebagai Ayu melanda dirinya selepas isterinya itu pulang ke Thailand baru-baru ini dan ia menjadi bertambah mendalam hari ini ketika semua orang menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Walaupun saya dapat berbual dengannya melalui telefon minggu lalu, perasaan rindu terhadapnya tetap ada dan saya hanya berupaya menatap gambar perkahwinan kami yang ada dalam simpanan saya,” katanya.

Che Abdul berkata, dalam perbualan mereka, isterinya memaklumkan kepadanya bahawa beliau sihat dan gembira berada di sana.

“Isteri saya meminta supaya tidak bimbang mengenai keselamatannya kerana kedua ibu bapanya berada dekat dengannya walaupun beliau sekarang di bawah jagaan Kementerian Sosial Thailand.

“Beliau juga memaklumkan kepada saya bahawa hari ini kedua ibu bapanya akan membawa beliau pulang ke kampung halaman mereka di Narathiwat,” katanya.

Beliau bagaimanapuntidak bercadang untuk berjumpa dengan isterinya itu pada masa terdekat ini.

BH memetik sumber turut melaporkan isu perkahwinan pasangan itu yang bernikah di Kampung Padang Nyor, Munduk dekat Sungai Golok, Thailand mendorong Majlis Agama Islam Narathiwat (MAIN) memperketatkan syarat berkahwin kepada pasangan dari Malaysia terutama mereka yang ingin berpoligami.

Menurut sumber, arahan itu dikeluarkan kepada semua kadi bertauliah dalam satu perjumpaan di pejabat MAIN bulan lalu.

“Mana-mana pasangan dari Malaysia yang ingin menggunakan khidmat kadi bertauliah untuk berkahwin perlu menyerahkan semua dokumen berkenaan termasuk surat kelulusan berpoligami dariada pihak berkuasa agama negeri masing-masing sebelum akad nikah dijalankan.

“Ini bagi memastikan tiada lagi masalah timbul selepas itu,” kata sumber terbabit.

Isu perkahwinan lelaki berusia 41 tahun yang bernikah dengan kanak-kanak perempuan 11 tahun mendapat liputan meluas media selepas mereka berkahwin di sebuah masjid di Kampung Padang Nyor 18 Jun lalu.

Ia mendapat perhatian meluas selepas isteri kedua Che Abdul, Siti Nor Azila Zulkifle, 34, memuat naik beberapa status dan gambar di Facebook miliknya yang mendedahkan tentang perkahwinan tersebut.