Kewajipan pemimpin lindungi rakyat, kata Kadir Jasin

Kadir, yang baru-baru ini dilantik sebagai penasihat media dan komunikasi di Jabatan Perdana Menteri berkata, tidak menjadi masalah sekiranya Beijing marah dengan keputusan itu dan bertindak balas. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Editor veteran Datuk A Kadir Jasin berkata pemimpin Malaysia berkewajipan menjaga kepentingan rakyat berikutan keputusan Putrajaya membatalkan beberapa projek yang disokong negara China.

Kadir yang baru-baru ini dilantik sebagai penasihat media dan komunikasi di Jabatan Perdana Menteri berkata, tidak menjadi masalah sekiranya Beijing marah dengan keputusan itu dan bertindak balas.

“Kita tidak mengundi pemimpin China. Kita mengundi pemimpin kita.

“Menjadi kewajipan pemimpin yang kita pilih menjaga kebajikan kita dan mempertahankan kedaulatan negara kita,” katanya di laman blog milik beliau.

Semalam Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah dibatalkan sehingga Malaysia berkemampuan meneruskannya.

Beliau juga berkata, fokus kerajaan sekarang ialah mengatasi defisit kewangan negara dan memastikan tiada projek yang merugikan kepentingan Malaysia dibuat.

Keputusan Putrajaya mendapat kritikan banyak pihak, termasuk satu pendapat pembaca di laman web Malaysiakini yang mendakwa lawatan Dr Mahathir ke negara China merupakan satu “bencana” kerana tiada perjanjian penting ditanda tangani.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, keputusan Putrajaya itu akan memberi kesan ke atas hubungan dengan China.

Kadir bagaimanapun menolak dakwaan itu.

“Saya yakin China tidak akan sewenang-wenangnya mengorbankan perhubungan yang dijalin oleh Almarhum Tun Abdul Razak 44 tahun lalu semata-mata kerana sayangkan anak beliau,” kata beliau, merujuk kepada perdana menteri Malaysia kedua dan anaknya, Datuk Seri Najib Razak.