Kit Siang: MCA perlu ubah untuk main peranan semak dan imbang

Lim Kit Siang berkempen untuk calon PH, Wong Siew Ki di pasar pagi Batu 11 Cheras, hari ini.

BANGI: Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, MCA perlu melakukan pembaharuan menyeluruh untuk menjadi parti berkredibiliti yang boleh memainkan peranan semak dan imbang.

Katanya, pembaharuan itu perlu untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu.

“Apa yang penting ialah mengubah salah guna kuasa kerajaan dahulu yang berterusan selama 60 tahun.

“Itu lebih utama untuk membandingkan apa yang mereka mahu buat sekarang (semak dan imbang),” katanya ketika berkempen untuk calon Pakatan Harapan (PH), Wong Siew Ki di pasar pagi Batu 11 Cheras, hari ini.

Beliau berkata, PH mahu menghapuskan semua amalan salah pentadbiran terdahulu.

“Kami setuju dengan konsep semak dan imbang, tetapi MCA tidak boleh memainkan peranan penting dalam semak dan imbang.”

Lim yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, MCA perlu “mengubah pendiriannya dan mengutuk (bekas perdana menteri) Datuk Seri Najib Razak serta 1MDB”, sebelum ia boleh dipertimbangkan pengundi.

Bagaimanapun, katanya, parti itu gagal berbuat demikian setakat ini.

Calon MCA bagi pilihan raya kecil Balakong, Tan Chee Teong sebelum ini berkata, beliau menyasarkan untuk memainkan peranan semak dan imbang dalam Dewan Undangan Negeri.

Bagaimanapun, Wong dilaporkan menolak manifesto Tan dengan berkata, PH tidak memerlukan MCA untuk semak dan imbang di Selangor.

Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Hari mengundi ditetapkan pada 8 September ini.

Sementara itu, Lim berharap pengundi akan meneruskan semangat pilihan raya umum (PRU) pada 9 Mei lalu dengan keluar beramai-ramai mengundi dalam PRK Balakong.

Katanya, jika peratusan keluar mengundi pada 8 September ini rendah, keadaan itu mungkin disabotaj parti pembangkang, khasnya Umno yang didakwanya sedang membuat rancangan jahat untuk menggulingkan PH dalam masa 2 tahun.

“Semangat PRU 9 Mei ini perlu diteruskan kerana Umno sedang merancang untuk menjatuhkan pimpinan kerajaan baru yang terbentuk hasil mandat rakyat.

“Peluang mengundi ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia masih sokong PH. Bukan sahaja menang pada PRU lepas, tetapi meneruskan harapan bina kerajaan baru tercapai.”

Katanya, PRK pada bulan depan penting bukan saja untuk Balakong, tetapi Malaysia secara keseluruhan dan PH perlu menang dengan majoriti lebih besar daripada PRU14.