Laporan: Inkuiri Parlimen ke atas operasi Lynas ‘dalam masa terdekat’

Julai lepas, menteri Yep Bee Yin berkata sebuah jawatankuasa ditubuhkan bagi menyemak operasi Lynas

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan 2 inkuiri berhubung kebimbangan alam sekitar ke atas pemprosesan nadir bumi oleh Lynas Corporation menurut Special Broadcasting Service Australia (SBS).

Ia memetik Ahli Parlimen Bentong dan aktivis alam sekitar Wong Tack sebagai berkata bahawa satu daripadanya merupakan inkuiri Parlimen, sementara yang satu lagi akan dilakukan oleh “pihak eksekutif” dan kedua-duanya akan diadakan “dalam masa terdekat”.

Kerajaan PH memenangi pilihan raya lepas atas mandat pembaharuan dan salah satu janji manifestonya ialah menyeimbangkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan alam sekitar,” katanya kepada SBS News.

Wong Tak menolak kebimbangan bahawa peraturan atau tindakan lebih keras ke atas Lynas akan menggugat pelaburan asing, dan berkata semua tindakan akan mematuhi tuntutan undang-undang dan menghormati norma antarabangsa.

Lynas Corporation, sebuah syarikat perlombongan Australia mengendalikan kilang pemprosesan Lynas (LAMP) di Pahang yang memproses nadir bumi – sejenis galian yang digunakan dalam penghasilan produk teknologi tinggi seperti komputer dan kereta elektrik sejak 2013.

Aktivis alam sekitar membantah kehadirannya di Malaysia sejak awal lagi, tetapi kerajaan lepas di bawah kepimpinan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Lynas menjamin semua langkah keselamatan telah diambil. Lynas berkata sisa radioaktif dilemahkan ke paras selamat terlebih dahulu sebelum dijadikan produk sampingan seperti baja tanah.

Menurut laporan SBS News, nadir bumi dilombong di Australia oleh Lynas yang berpangkalan di Austrialia Barat dan dipasarkan ke seluruh dunia termasuk China, selepas ia diproses di Malaysia.

Harganya jatuh teruk Mei lepas apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) ditewaskan PH dalam pilihan raya umum.

Wong Tack berkata, Malaysia akan mematuhi undang-undang antarabangsa tetapi pada masa sama “mempertahankan ruang pembuatan keputusannya dan menjunjung hak dan aspirasi rakyat untuk mendapat pelaburan yang selamat dari segi alam sekitar”.

Dalam kenyataan kepada SBS News, Lynas Corporation berkata ia telah beroperasi dengan selamat di Malaysia selama 5 tahun dan mematuhi semua syarat keselamatan.

“Lynas mengalu-alukan semangat optimisme dan kemajuan tinggi yang dibawa oleh kerajaan baru dan menerima kajian semula mereka ke atas pelbagai bidang ekonomi Malaysia.

“Sebagai sebuah syarikat yang telus dan mematuhi undang-undang, kami mematuhi tahap piawaian yang tinggi dalam semua aspek perniagaan dan akan bekerjasama dengan kerajaan serta yakin terhadap pencapaian kami,” kata kenyataan itu.

Julai lepas, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berkata, sebuah jawatankuasa diketuai Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Wong Tack telah dibentuk untuk menyemak semula operasi Lynas.

Beliau berkata, “terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan mengenai Lynas. Tetapi sekarang ia masih pramatang, jadi kita serahkan kepada jawatankuasa untuk memutuskannya.”