MCA: Buktikan langkah Putrajaya batalkan projek disokong China tepat

Wee Ka Siong berkata, jika salah laku dibuktikan, MCA akan menyokong pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

PETALING JAYA: MCA sekali lagi mengkritik keputusan Putrajaya membatalkan 3 projek disokong China dan menuntut kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengemukakan bukti bahawa keputusannya itu merupakan pilihan yang tepat.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Gas Trans Sabah (TSGP).

Dr Mahathir berkata projek berkenaan dibatalkan sehingga Malaysia mampu melaksanakannya dan menambah projek yang merugikan kepentingan Malaysia tidak akan dibenarkan.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kerajaan perlu mendedahkan kajian kebolehlaksanaan, analisis kos-faedah dan kajian kos ekonomi untuk ketiga-tiga projek yang dibatalkan itu.

Kata beliau, Putrajaya juga perlu mendedahkan syarat pembatalan dan pampasan projek berkenaan, selain membuktikan dakwaannya tentang terma pembayaran pendahuluan tidak adil bagi 2 projek saluran paip.

“Tunjukkan kepada kami bukti bahawa kontraktor terlibat yang merupakan syarikat ke-4 terbesar di dunia tidak akan menyiapkan 2 projek saluran paip itu dalam tempoh 3 tahun yang dipersetujui,” katanya di laman Facebook beliau.

Wee, seorang bekas menteri dalam pentadbiran sebelum ini, merujuk kepada kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bulan lepas bahawa Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), syarikat milik kementerian berkenaan meluluskan pembayaran berjumlah 87.7% kos projek kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB).

Lim berkata, urus niaga SSER itu “amat meragukan” kerana kedua-dua projek saluran paip itu hanya siap 13%.

Wee berkata, rakyat Malaysia berhak mendapat maklumat tepat supaya mereka boleh membuat penilaian sendiri sama ada dakwaan PH itu benar dan jika pembatalan 3 projek itu keputusan yang betul.

“Oleh sebab jumlah terlibat mencapai angka puluhan bilion ringgit dan dakwaan itu serius, sekiranya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja perlu ditubuhkan, maka sila tubuhkannya.

“Jika salah laku dapat dibuktikan, MCA akan menjadi pihak pertama menyokong tindakan tegas daripada pihak berkuasa, kata Ahli Parlimen Ayer Hitam itu.

Semalam Wee berkata, pembatalan projek tersebut akan memberi kesan ke atas hubungan dengan Beijing, selain menyesali kerugian ekonomi dan faedah lain yang dijananya.