MCA perlu lebih kreatif, jangan curi manifesto kami, kata calon PH

Wong Siew Ki menggesa calon MCA supaya tidak mencuri manifesto PH menghapuskan tol secara berperingkat.

BANGI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil (PRK) Balakong, Wong Siew Ki menggesa lawannya daripada MCA, Tan Chee Teong lebih kreatif dalam mencari idea untuk manifestonya, bukannya mencuri manifesto gabungan itu.

“Tan perlu lebih kreatif. Jangan selalu curi manifesto kami.

“MCA kata akan cuba naik taraf longkang di Balakong. Mereka juga berjanji jika dipilih menjadi Adun akan hapuskan tol.

“Jangan tumpang manifesto hapuskan tol secara berperingkat. Itu adalah manifesto PH bukannya MCA,” katanya ketika berkempen di pasar pagi Batu 11 Cheras, hari ini.

Turut hadir Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, penghapusan kutipan tol boleh dilaksanakan kerajaan PH secara berperingkat dengan mengambil kira kemampuan kewangan negara.

Pada 13 Ogos lalu, Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pemansuhan tol sehingga kewangan negara mengizinkan kerana ia perlu membayar pampasan lebih RM400 bilion.

Tetapi, beliau berjanji akan meneliti langkah lain untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Pada 28 Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, cadangan menghapuskan kutipan tol tidak boleh dimuktamadkan dalam 100 hari pentadbiran PH kerana ia sangat rumit dan perlu mempertimbangkan kepentingan semua pihak.

KWSP memilliki 49% pegangan dalam pengendali lebuh raya bertol PLUS Malaysia Bhd, manakala unit Khazanah Nasional Bhd, UEM Group Bhd memiliki ekuiti selebihnya.

Kerusi DUN Balakong kosong susulan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee dalam kemalangan di Lebuhraya Grand Saga, pada 20 Julai lalu.

Hari mengundi ditetapkan pada 8 September ini.