Penganalisis: Jadikan majlis penasihat rasmi jika mahu ia kekal

Pengerusi majlis penasihat Daim Zainuddin (kiri) dengan seorang anggota majlis, Zeti Akhtar Aziz. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang penganalsis politik mencadangkan majlis penasihat tertinggi Putrajaya diinstitusikan bagi menjelaskan peranan dan arah tujunya dengan lebih baik berikutan berita majlis tersebut tidak akan dibubarkan selepas tempoh 100 hari mandatnya tamat.

Penganalisis bebas Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata jika Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mahu melanjutkan perkhidmatan Majlis Penasihat Kerajaan dengan 5 anggota itu, maka beliau perlu menjelaskan keputusan itu kepada rakyat.

“Majlis Penasihat Kerajaan perlu diinstitusikan dan dilembagakan mengikut undang-undang dan perlembagaan supaya tidak ada pihak yang boleh mempertikaikan kewujudannya.

“Peranan majlis, tempoh kewujudan dan peranan anggotanya perlu dijelaskan,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Dr Mahathir mengumumkan majlis penasihat itu, yang diketuai bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin, akan diteruskan kerana beliau masih memerlukan khidmatnya.

“Saya masih memerlukan khidmat mereka sehingga semua masalah selesai,” katanya, dan menambah bahawa beliau tidak pernah berkata majlis itu akan dibubarkan selepas 100 hari.

Bagaimanapun bulan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong berkata majlis tersebut akan dibubarkan selepas 100 hari pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Selain Daim, majlis berkenaan dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas Tan Sri Hassan Marican, tokoh perniagaan Tan Sri Robert Kuok dan pakar ekonomi Dr KS Jomo.

Isnin lepas majlis tersebut mengumumkan ia telah menyempurnakan mandat dan akan menyerahkan semua syornya kepada Dr Mahathir.

Kamarul menggesa Dr Mahathir menjelaskan percanggahan kenyataan yang berlaku berkaitan tempoh perkhidmatan majlis tersebut.

Beliau juga menyebut tentang kebimbangan dalam kalangan anggota kerajaan PH dan masyarakat sivil berhubung pelanjutan tempoh perkhidmatan majlis tersebut yang didakwa bertentangan dengan amalan demokrasi negara kerana ia bukan sebuah badan yang dipilih.

“Badan seperti itu tidak salah,” katanya, “kerajaan hanya perlu mengabsahkannya mengikut undang-undang. Ia perlu diluluskan oleh Parlimen, sesuai dengan amalan demokrasi.

“Pada masa ini, oleh sebab pelantikan mereka dibuat oleh Dr Mahathir sendiri tanpa melalui Parlimen, maka ia akan mengakibatkan respons negatif.”

Antara lain katanya, Dr Mahathir boleh dilihat tidak mempercayai anggota Kabinetnya sendiri.

Oh Ei Sun, seorang penasihat kanan hal-ehwal antarabangsadi di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia berkata, keputusan kerajaan mahu melanjutkan tempoh perkhidmatan majlis tersebut boleh difahami.

Kata beliau, majlis itu memainkan peranan penting dalam meyakinkan pelabur dan komuniti perniagaan bahawa pengurusan eknomi Malaysia berada di tangan yang selamat.

“Ia menawarkan nasihat berpengalaman kepada Dr Mahathir, terutamanya dalam bidang ekonomi,” tambahnya.

Kata beliau, ini perlu kerana ramai anggota Kabinet, walaupun mempunyai kelayakan profesional dan dilihat berintegriti, tidak mempunyai pengalaman pentadbiran kerana mereka sebelum ini merupakan ahli pembangkang.

Berbeza dengan Kamarul, Oh bagaimanapun menolak cadangan majlis penasihat itu diinstitusikan kerana ia sepatutnya merupakan sebuah badan ad-hoc.

Katanya langkah itu akan mendedahkan majlis tersebut kepada permainan politik kerana ramai yang akan berebut untuk menganggotainya.