Peraturan baru pemilihan PKR tak praktikal, kata ketua Pemuda

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, calon lain yang bertanding dalam pemilihan parti tahun ini juga mahu JPP mengkaji semula peraturan baru itu.

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan peraturan baru menghalang calon pemilihan parti itu mengadakan ceramah dan menganjurkan jamuan makan dengan kehadiran lebih 100 orang, tidak praktikal.

Ini kerana, katanya, PKR mempunyai 800,000 ahli di seluruh negara.

Calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) itu akan meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) melaksanakan peraturan yang lebih realistik.

“Kalau dia buat (peraturan pemilihan) secara tertutup dan sebagainya tidak praktikal, kita akan bangkitkan perkara berkenaan,” katanya selepas Majlis Serahan Daging Korban di Projek Perumahan Rakyat Kampung Baru Air Panas, Setapak, hari ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu menyumbang 17 ekor kambing sempena Aidiladha.

Malaysiakini memetik pekeliling PKR bertarikh 19 Ogos yang memperkenalkan beberapa peraturan ketat baru, termasuk mengadakan ceramah dan jamuan makan dengan kehadiran lebih 100 orang dan kempen itu harus diadakan di tempat tertutup.

PKR turut menghalang calon menggunakan imej berkumpulan dalam bahan kempen mereka.

Nik Nazmi berkata, selain dirinya, calon lain yang bertanding dalam pemilihan parti tahun ini juga mahu JPP mengkaji semula peraturan baru itu.

Mengenai pilihan raya kecil Seri Setia, Nik Nazmi yang juga bekas Adun di kerusi Dewan Undangan Negeri itu yakin PKR dapat mempertahankan kerusi berkenaan.

“Secara keseluruhan, kita yakin tentang kerusi tersebut, tetapi sudah tentu kita kena kerja kuat dan tidak ambil mudah.”

Mengenai kenyataan calon PH bagi pilihan raya kecil Balakong, Wong Siew Ki yang tidak tergugat dengan sokongan PAS terhadap MCA, Nik Nazmi mendakwa ahli PAS di DUN itu tidak suka MCA.

“Orang PAS di peringkat bawahan tidak berapa gemar dengan MCA, jadi perkara itu (sokongan PAS) masih sukar diterima.”