September masa tepat uji mahasiswa ‘Malaysia Baru’, kata aktivis

Pembukaan semester baru September depan juga merupakan tempoh kritikal untuk menilai layanan dan janji kerajaan PH kepada mahasiswa seluruh negara.

PETALING JAYA: Dua orang aktivis mahasiswa sepakat mengatakan September tahun ini adalah tempoh terbaik untuk menguji perkembangan mahasiswa di bawah pemerintahan “Malaysia Baru”, sama ada sama atau tampil berbeza berbanding zaman pemerintahan kerajaan lepas.

Aktivis mahasiswa Ahmad Taqiyuddin Shariman berkata pembukaan semester baru berbaki lebih kurang satu bulan itu adalah waktu tepat untuk menguji mahasiswa negara ini jika mereka benar-benar peka tentang perkembangan politik dan isu semasa.

“Ramai yang mempersoalkan, adakah undang-undang dan peraturan seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang menyebabkan mahasiswa tidak bersuara atau pun sikap sebenar mereka yang sememangnya tidak mahu ambil tahu.

“Jawapan kepada persoalan ini akan diketahui dan hipotesis baru boleh dibuat terhadap mereka. Jika bilangan aktiviti akademik bertambah, kumpulan mahasiswa bersuara bertambah dan aktivis mahasiwa bertambah, maka kita boleh buat hipotesis baru,” katanya ketika dihubungi FMT.

Katanya, “kezaliman” yang berada dalam institut pengajian tinggi negara menjadi punca mahasiswa ditindas di universiti sendiri.

“Malah Fortify Rights dari Amerika Syarikat turut mendokumentasikan kezaliman IPTA yang menindas mahasiswa negara ini.

“Ini semua berlaku apabila kuasa tertinggi seperti Naib Canselor dan Lembaga Pengarah universiti masing-masing dipilih melalui lantikan politik, bukannya atas dasar kredibiliti dan pengaruh akademik,” katanya.

Seorang lagi aktivis mahasiswa, Asheeq Ali berkata pembukaan semester baru itu juga satu tempoh kritikal untuk menilai layanan dan janji kerajaan PH terhadap mahasiswa seluruh negara.

“Kita mahu lihat sejauh mana manifesto dalam Buku Harapan akan dilaksanakan ke atas mahasiswa dan bilakah kerajaan PH akan mula ambil langkah membebaskan mahasiswa daripada sekatan yang menghalang mereka bersuara,” katanya.

PH melalui Buku Harapan menjanjikan beberapa jaminan dalam soal kebebasan akademik, termasuklah jaminan kebebasan berpersatuan dalam universiti, pemansuhan Akta Universiti dan Koleh Universiti (AUKU 1971), autonomi Lembaga Pengarah Universiti dan kebebasan akademik dan berfikir.

Pada 7 Ogos lalu, lamanweb rasmi Bahagian Kemasukan Pelajar (UPU) Jabatan Pendidikan Tinggi mengumumkan kemasukan universiti bagi sesi 2018. Kesemua mahasiswa yang diterima masuk merupakan pelajar tahun pertama di bawah pemerintahan kerajaan PH pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.