Sistem AES: Bekas ketua SPR nafi wujud konflik kepentingan

Abdul Aziz Yusof berkata, beliau hanya membeli saham Commercial Circle selepas bersara pada 2016. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof menafikan sebarang konflik kepentingan dalam isu Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Beliau ialah pemegang saham majoriti Commercial Circle (Malaysia) Sdn Bhd, yang merupakan satu daripada 2 pemegang saham dalam ATES Sdn Bhd.

ATES adalah sebuah daripada 2 syarikat mengendalikan AES yang menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke meraih keuntungan RM129 juta dalam 6 tahun ini, selepas ia diperkenalkan pada 2012. Sebuah lagi syarikat yang mengendalikan AES ialah Beta Tegap Sdn Bhd.

Pemegang saham untuk ATES ialah Commercial Circle dan Traffen Force Sdn Bhd. Difahamkan, Commercial Circle memiliki 40% ekuiti dalam ATES dan bakinya milik Traffen Force.

Semakan FMT mendapati Aziz yang merupakan pengerusi SPR dari 2009 hingga 2016, memiliki 60% saham dalam Commercial Circle.

Bagaimanapun, Aziz memberitahu FMT beliau hanya membeli saham itu pada separuh kedua 2016 selepas bersara.

“Saya tidak tahu sangat mengenai AES. Saya memperoleh saham dalam Commercial Circle kerana ia ada kaitan dengan industri keselamatan. Itu minat saya kerana dulu saya pernah berkhidmat sebagai ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri.”

Menurut dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Commercial Circle ialah pemegang lesen dan pembekal peralatan pertahanan serta polis untuk jabatan kerajaan, selain terbabit dalam membekal dan memasang kamera pengawasan trafik.

Syarikat itu turut membekal dan menyelenggara peralatan penguatkuasaan undang-undang.

Kelmarin, Loke mendedahkan Beta Tegap ditubuhkan pada 7 Februari 2004 dan pemegang sahamnya terdiri daripada Dr Andreas Teoh, Datuk Mohd Yunos Othman, Toh Puan Rozana Redzuan, Jeneral (B) Tan Sri Nik Ismail Nik Mohamed dan Datin Yap Kim See @ Yap Ai Lin.

Jumaat lalu, Loke mengumumkan pembatalan semua 3.1 juta saman AES bernilai kira-kira RM435 juta yang dikeluarkan sejak 2012.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil alih sistem AES sepenuhnya mulai bulan depan kerana kerajaan tidak menyambung kontrak ATES dan Beta Tegap.