Militan Abu Sayyaf maut dalam pertempuran di Filipina

MANILA: Seorang militan Abu Sayyaf terbunuh, manakala sekurang-kurangnya 20 tentera kerajaan cedera apabila pasukan bersenjata Filipina bertempur dengan kira-kira 40 anggota kumpulan pengganas itu di wilayah Sulu, agensi berita China Xinhua memetik kenyataan jurucakap tentera.

Leftenan Kolonel Gerry Besana dari Kor Mindanao Barat berkata, pertempuran sengit itu berlaku kira-kira 9 pagi tadi (waktu tempatan) di Kampung Langhub, pekan Patikul, sebuah kubu kuat Abu Sayyaf di kawasan hutan terpencil, yang berlanjutan hampir sejam.

Beliau berkata, tentera yang cedera terkena serpihan grenad senapang dalam pertempuran ke-3 seumpamanya minggu ini.

Katanya, pertempuran turut berlaku di kampung tugas dan latih yang terletak berhampiran serta di pekan Patikul pada awal minggu ini.

Tentera meneruskan operasinya bagi memburu saki-baki anggota militan, katanya.

Abu Sayyaf, sebuah kumpulan radikal Islam di Filipina, sering melakukan penculikan, pengeboman dan memenggal kepala tebusan di barat Mindanao, terutama di sarang mereka di Pulau Basilan dan Sulu.