1MDB fail permohonan jual kapal layar mewah Equanimity

1MDB Global Investments Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB dan kerajaan Malaysia meminta sherif atau pendaftar mahkamah menjual kapal layar itu melalui lelongan awam atau triti persendirian.

PETALING JAYA: Kumpulan 1MDB memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk menjual kapal layar mewah berharga RM1 bilion Equanimity yang kini ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Dokumen mahkamah yang dilihat oleh FMT mendedahkan permohonan itu yang difailkan petang Selasa lepas menyebut penjualan itu adalah perlu berikutan kos penyelenggaraan kapal layar mewah itu tinggi.

Pengurusan kes ditetapkan esok.

Dalam permohonannya, plaintif, 1MDB Global Investments Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB dan kerajaan Malaysia meminta sherif atau pendaftar mahkamah menjual kapal layar itu melalui lelongan awam atau triti persendirian.

Ia berkata, bayaranya, sama ada dalam dolar AS, ringgit atau euro hendaklah dimasukkan ke dalam akaun dengan faedah sehingga kes itu selesai diputuskan.

Pemohonan ini dibuat setelah pemilik yang diandaikan, yang berpangkalan di Kepulauan Cayman dan dinamakan sebagai defendan, gagal memfailkan permohonan untuk mengetepikan waran tangkap atau mencabar perisytiharan yang dipohon oleh defendan dalam tempoh 14 hari yang tamat pada Selasa lepas.

Plaintif yang mendapat waran tangkap ke atas kapal tu pada 6 Ogos, juga memfailkan satu perisytiharan bahawa mereka adalah pemilik kapal layar itu kerana ia dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Mereka juga memohon perintah untuk menjual kapal layar itu dan hasil jualan diserahkan kepada pemilik sah selepas diadakan perbicaraan berhubung perisytiharan tersebut.

Ahli perniagaan Low Taek Jho yang dikatakan memilki kapal layar itu melalui sebuah syarikat, mendakwa rampasannya tidak sah. Beliau juga menuduh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menghormati undang-undang.

Dr Mahathir dan Peguam Negara, Tommy Thomas bagaimanapun menegaskan penahanan itu sah dan dibuat mengikut undang-undang admiraliti.

Mereka juga mencabar Low atau lebih dikenali sebagai Jho Low, supaya mengetepikan waran tangkap itu dan mencabar perisytiharan yang diminta oleh plaintif.

Peguam Arun Kasi berkata, beliau percaya permohonan perintah jualan itu dibuat sebaik sahaja tamat tempoh 14 hari kerana kos penyelenggaraan Equanimity “sangat besar”.

Laporan sebelum ini menyebut kos penyelenggaraan kapal layar itu dan anak kapalnya mencecah angka RM3 juta sebulan.

“Nilai harga jualan kapal layar itu juga meragukan kerana ia merupakan kapal layar yang terlalu mewah,” katanya.

Beliau berkata sebaik sahaja kapal layar itu dirampas, undang-undang menghendaki pemiliknya memfailkan kehadiran dalam masa 14 hari.

“Peliknya sehingga kini tiada peguam muncul bagi pihak pemilik Equanimity, dan tiada kehadiran difailkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kumpulan 1MDB tidak boleh mengetepikan kemungkinan pemiliknya muncul untuk mencabar perisytiharan yang dimintanya.

Berdasarkan rekod, pemilik kapal layar itu merupakan sebuah syarikat, bukan individu.

Beliau berkata, sekiranya pemilik mencabar permohonan 1MDB, maka palintif perlu membuktikan kesnya berdasarkan imbangan kebarangkalian bahawa wang dari 1MDB telah digunakan untuk membeli kapal layar tersebut.

Beliau berkata, plaintif tidak boleh bergantung pada keterangan dengar cakap, tetapi sebaliknya menggunakan testimoni kakitangan Jabatan Kehakiman AS di mahkamah Malasyia.

Jika pemilik gagal mengemukakan cabarannya, maka katanya, 1MDB mungkin akan membuat permohonan penghakiman ingkar.