‘3 pasukan khas polis bubar Jun lalu kerana pertindihan tugas’

Azis Jamman yakin pembubaran STING, STAGG dan Stafoc akan menyaksikan koordinasi lebih teratur dan usaha membanteras jenayah lebih baik daripada dulu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tiga pasukan siasatan khas di bawah polis dibubarkan Jun lalu kerana wujud pertindihan tugas sehingga menyebabkan tindakan tuding jari ke arah satu sama lain, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Pasukan itu adalah Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

“Berlaku tuding-menuding dahulu, dia cakap jabatan sana yang buat, bukan kami. Sana pula cakap itu kamu (yang buat).

“Akhirnya orang yang melakukan jenayah seperti membuka judi haram ini berleluasa. Untuk elakkan pertindihan, bubarkan satu dan perkasakan satu (lagi) bahagian,” katanya kepada FMT hari ini.

Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Jabatan Imigresen dan polis akan dirombak serta disusun semula kerana struktur yang disifatkannya “berserabut” dan menerima aduan tertinggi daripada orang ramai.

Katanya, beberapa pasukan siasatan khas di bawah polis akan dibubarkan untuk penstrukturan semula entiti itu.

Akhbar Straits Times Singapura memetik sumber sebagai berkata, 3 pasukan itu akan ditutup kerana “penuh rasuah dan perbuatan melindungi penjenayah yang sepatutnya ditangkap”.

Hari ini, Azis berkata kakitangan daripada 3 pasukan siasatan khas itu akan diserapkan ke unit lain yang bersesuaian.

“Kalau siasatan jenayah pergi ke siasatan jenayah, judi itu akan ke Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7),” katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar itu menafikan pembubaran 3 pasukan itu akan menyebabkan kadar jenayah bertambah.

“Tidak akan menambahkan kadar jenayah, tapi kita yakin dengan pembubaran ini, koordinasi akan lebih teratur dan usaha membanteras jenayah akan lebih baik berbanding dulu.”