Batal ECRL: Pahang rayu Putrajaya timbang semula, 13-14% kerja awal telah bermula

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembatalan itu merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, dengan kerja awal pelaksanaan telah bermula. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Kerajaan negeri merayu kepada kerajaan pusat agar mempertimbangkan semula keputusan membatalkan projek pembinaan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) kerana ia akan menyebabkan ramai anak tempatan kehilangan peluang pekerjaan.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembatalan itu juga akan merugikan ketiga-tiga negeri – Pahang, Terengganu dan Kelantan, yang mana kerja-kerja awal pelaksanaannya telah pun bermula.

“Di Pahang sahaja, kemajuan yang dicapai ialah antara 13 dan 14% setakat ini. Malah, di tapak seperti Genting dan Bentong, kerja mengorek terowong bagi laluan bawah tanah ECRL telah bermula.

“Selain itu, kerja pengambilalihan tanah sudah berada di peringkat Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri dan ini termasuk bagi tanah milik persendirian yang perlu diwartakan untuk ditetapkan jumlah pampasan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengikut rekod, seluas 1,394.4 hektar tanah melibatkan 1,545 lot tanah menerusi jajaran sepanjang 232.5 kilometer merentasi daerah Bentong, Temerloh, Bera, Maran dan Kuantan akan terlibat dengan projek ECRL.

Menurut Wan Rosdy daripada jumlah keluasan itu, kira-kira 385 hektar atau 27.6% ialah tanah kerajaan manakala yang lain ialah tanah milik persendirian, tanah rizab Melayu dan hutan simpan kekal.

“Sehubungan itu, saya merayu bagi pihak kerajaan negeri serta mereka yang terkesan teruk dengan pembatalan ini khususnya pekerja yang bakal diberhentikan, agar kerajaan persekutuan dapat mempertimbang semula keputusan itu,” katanya.