Hakim mahu kebebasan kewangan dari JPM, kata sumber

PETALING JAYA: Badan kehakiman mahu kebebasan kewangan dalam pengurusan, bukannya membiarkan bajet tahunannya diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), kata sumber.

Sumber itu berkata, ketika ini, bajet tahunan untuk gaji, penyelenggaraan bangunan serta kontrak diuruskan seorang penjawat awam kanan, dan mereka berdepan kerenah birokrasi untuk mendapat peruntukan yang diluluskan itu.

“Wang itu diletakkan di sana (JPM) dan ia memerlukan masa untuk mengeluarkan peruntukan itu,” katanya kepada FMT.

Ketika ini, katanya, peruntukan mereka dipotong tanpa sebarang rundingan, susulan langkah penjimatan dilaksanakan kerajaan.

Badan kehakiman diperuntukkan kira-kira RM450 juta setahun, termasuk gaji untuk hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Sumber itu berkata, langkah itu tepat pada masanya kerana badan perundangan juga mahu pengurusannya bebas daripada badan eksekutif.

Baru-baru ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang mempertimbangkan untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 untuk memberi kebebasan kepada Parlimen dalam pentadbirannya.

Ahli Parlimen Sungai Petani daripada Pakatan Harapan, Datuk Johari Abdul, ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong menggesa kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan semula akta itu untuk mengembalikan integriti Parlimen.

Johari berkata, dana perlu diperuntukkan secara terus kepada institusi itu, bukannya melalui JPM dan ini termasuk pelantikan kakitangan.

Sementara itu, bekas presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan menyambut baik usaha untuk memberi kebebasan kewangan kepada badan kehakiman yang tertangguh sekian lama.

“Dahulu, Majlis Peguam menyokong idea ini kerana badan kehakiman perlu bebas daripada badan eksekutif sepenuhnya, termasuk dalam urusan kewangan.”

Beliau bagaimanapun mencadangkan pelantikan seorang ketua pegawai eksekutif dan kakitangan sokongan untuk menguruskan bajet tahunan itu.

“Semua perbelanjaan dan kontrak perlu diaudit untuk memastikan tiada pembaziran serta membeli barang dengan harga mahal.”

Beliau berkata, agensi kerajaan yang membina bangunan mahkamah mengadakan rundingan minimum dengan badan kehakiman dan Majlis Peguam.

“Struktur mahkamah sedia ada tidak praktikal kerana setiap hakim Mahkamah Tinggi dan mahkamah rendah mempunyai sebuah kamar. Tiada penggunaan sumber yang optimum.”

Katanya, hakim di Singapura berkongsi kamar sama, manakala bilik mereka terletak di tempat lain.

“Ini baik kerana hakim boleh berinteraksi secara bersemuka dan berkongsi kemudahan seperti perpustakaan.”