India tolak bantuan dana asing pulihkan Kerala daripada banjir

Banjir di Kerala meragut 400 nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran serta 1.2 juta penduduk kehilangan tempat tinggal. (Gambar AFP)

NEW DELHI: Kerajaan India menolak secara baik bantuan asing untuk memulihkan semula Kerala yang teruk terjejas akibat banjir, meskipun kira-kira sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal ketika pentadbiran negeri itu bertungkus-lumus menangani kemusnahan yang disebabkan bencana itu.

Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Maldives antara negara yang menawarkan bantuan dalam kerja pemulihan serta pembinaan semula negeri di selatan India itu, yang terjejas teruk akibat dilanda hujan lebat dan banjir.

“Kerajaan India amat menghargai tawaran beberapa negara, termasuk kerajaan asing bagi membantu usaha pemulihan selepas banjir tragik di Kerala.

“Selaras dasar sedia ada, kerajaan komited memenuhi keperluan bagi menyalurkan bantuan dan pemulihan menerusi usaha domestik,” menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India.

Kementerian itu bagaimanapun berkata, India akan menerima sumbangan asing disalur kepada Dana Bantuan Perdana Menteri dan Dana Bantuan Ketua Menteri daripada penduduk berketurunan India bukan pemastautin (NRI), orang India yang merupakan rakyat negara lain serta yayasan antarabangsa.

Bencana itu meragut 400 nyawa di Kerala dan mengakibatkan kemusnahan besar-besaran kepada infrastrukturnya dan menyebabkan 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Beribu-ribu lagi terkandas dan amat memerlukan bekalan penting.

Kerajaan persekutuan memperuntuk 6 bilion rupee (kira-kira AS$85 juta) sebagai bantuan, namun keengganan menerima dana asing bermakna Kerala tidak akan mendapat bantuan AS$100 juta yang ditawarkan UAE.

Ketua Menteri Kerala, Pinarayi Vijayan berminat menerima bantuan UAE dan menggesa kerajaan pusat memberi pampasan kepada negeri itu jika ia menolak dana asing.

“Kami dengar ada beberapa halangan dalam menerima dana ini. Kami akan berbincang dengan kerajaan dan bertemu perdana menteri,” kata Vijayan kepada media India.

Beliau berkata, UAE “tidak boleh dianggap sebarang negara lain” kerana pemerintahnya mengiktiraf sumbangan rakyat Kerala dalam kemajuan negara itu.

Pekerja dari Kerala membentuk satu bahagian yang signifikan daripada 3 juta komuniti ekspatriat India di UAE.