JPP PKR nafi peraturan pemilihan sasar kem Rafizi

Setiausaha JPP PKR Ismail Yusoff berkata, peraturan itu ditetapkan sebagai garis panduan kepada mereka yang terlibat dalam pemilihan parti. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR hari ini menafikan peraturan baru dalam pemilihan parti seperti menetapkan kehadiran 100 orang dalam ceramah dan dibuat secara tertutup merujuk kepada kem Naib Presiden PKR Rafizi Ramli.

Setiausaha JPP Ismail Yusof sebaliknya berkata, peraturan itu dihantar kepada semua orang sebagai satu isyarat kepada mereka yang telah memulakan kempen masing-masing.

“Sebab kita tengok permulaannya (pemilihan kempen) dah kasar, kita mahu hantar isyarat kepada semua orang. (Pemilihan) ini adalah hal keluarga, janganlah anda melampaui garisan.

“Bagi saya ‘benda’ seperti kempen yang negatif ini tidak wajar. Saya minta maaf, pimpinan selalu sebut kita adalah blok terbesar, kita yang paling ramai…jika itu selalu kita cakapkan kita kenalah buktikan bahawa keberadaan kita suatu yang bermakna, bukan dengan buat benda tak sesuai,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan, berdasarkan pekeliling bertarikh 19 Ogos, parti itu kini memperkenalkan beberapa peraturan baru yang ketat .

Ini termasuklah pengharaman ceramah dan program jamuan makan besar-besaran dengan kehadiran lebih 100 orang dan kempen harus diadakan di tempat tertutup.

Selain itu, PKR juga menghalang calon daripada menggunakan imej berkumpulan dalam kempen.

Dalam suratnya yang membantah beberapa peraturan baru itu, Rafizi mendakwa kod etika berkenaan ditujukan kepadanya.

Semalam Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad menyifatkan peraturan baru itu sebagai tidak praktikal kerana parti itu mempunyai 800,000 ahli di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, peraturan itu ditetapkan sebagai garis panduan kepada mereka yang terlibat dalam pemilihan parti.

Katanya, garis panduan itu berperanan sebagai kod etika kepada calon dan JPP juga mahukan kempen itu dilaksana dalam muafakat dan beradab kerana pemilihan parti disifatkan sebagai hal keluarga.

“Setiap kali berlaku pemilihan benda-benda yang sama berulang, macam kita tak belajar daripada kesilapan lalu. Kita cuba nak kurangkan pertembungan, yang bagi saya angat tegang dalam parti, ia tak baik.

“Janganlah lihat kod etika itu sebagai sesuatu yang menutup pintu demokrasi. Sebenarnya ia isyarat kepada semua orang bahawa semangat etika itu perlu dijaga oleh semua,” katanya.