Musa Aman ditahan di KL

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din mengesahkan penahanan bekas ketua menteri, Tan Sri Musa Aman di Kuala Lumpur hari ini.

“Musa ditahan pada jam 10 pagi tadi. Polis sudah memohon perintah reman, tetapi ditolak majistret,” katanya ketika dihubungi FMT.

Ramli bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu.

Adun Sungai Sibuga itu dikehendaki polis untuk membantu siasatan susulan laporan dibuat Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin pada 14 Mei lalu berkaitan ugutan jenayah selepas upacara angkat sumpah jawatan ketua menteri.

Sebaik sahaja membuat laporan polis itu, percakapan Juhar turut diambil dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri di depan Juhar pada 10 Mei lalu, selepas memperoleh majoriti mudah.

Bagaimanapun, Datuk Seri Shafie Apdal yang juga presiden Parti Warisan Sabah dilantik sebagai ketua menteri dan mengangkat sumpah di depan Juhar 2 hari kemudian selepas beberapa Adun Barisan Nasional berpaling tadah.

Musa dilapor meninggalkan Malaysia pada 16 Mei lalu untuk menjalani rawatan di London dan beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada 21 Ogos lalu.