Najib gesa tubuh RCI siasat ECRL, 2 projek paip dibatalkan

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menentukan jika wujud salah laku dalam 3 projek berbilion ringgit yang dibatalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Tiga projek itu adalah projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Bekas perdana menteri itu turut menggesa kerajaan mendedahkan semua perjanjian, kajian impak ekonomi, kebolehlaksanaan dan analisa manfaat kos, untuk rakyat menilai sama ada 3 projek itu perlu diteruskan atau dibatalkan.

“Rakyat berhak mengetahui jika keputusan membatalkan itu dibuat atas alasan yang munasabah serta kukuh dan tidak dibuat bersandarkan kepada kemarahan terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) atau terhadap kerajaan China yang tidak mahu tunduk dengan kemahuan PH,” tulisnya di Facebook hari ini.

“Sehingga kesemua dokumen itu didedahkan, saya kecewa dan sedih bagi penduduk pantai timur Semenanjung kerana akan kehilangan pembangunan pemangkin kemajuan negeri mereka dan peluang untuk mereka meningkatkan taraf ekonomi sama seperti yang diperolehi penduduk di pantai barat.”

Selasa lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pembatalan 3 projek itu yang membabitkan peruntukan besar, tetapi Malaysia tidak terlalu memerlukannya ketika ini kerana kedudukan kewangan negara dan beban hutang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

Katanya, Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang memahami sebab pembatalan 2 projek yang disokong Beijing itu.

“Keutamaan kami ialah mengurangkan hutang. Buat masa ini, ia ditangguhkan sehingga kita mampu,” kata perdana menteri.

ECRL sejauh 688km menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan. Projek bernilai RM81 bilion itu dilancarkan tahun lalu dan dijadual siap pada 2024.

TSGP yang bernilai RM4 bilion pula meliputi pemasangan saluran paip gas sepanjang 662 km menghubungkan Terminal Gas Kimanis dengan Sandakan dan Tawau.

Dua projek itu digantung sejak Julai lalu.

MPP ialah projek saluran paip petroleum sepanjang 600km menghubungkan Melaka, Port Dickson dan Jitra di Kedah dengan kos kira-kira RM5.35 bilion.

Najib yang juga ahli Parlimen Pekan berkata, perjanjian projek itu mempunyai klausa penamatan (exit clauses).

“Ini bukan macam perjanjian-perjanjian konsesi IPP (penjana tenaga bebas) ataupun tol jalan raya dari zaman Mahathir dulu, di mana sehingga sekarang, kerajaan PH tidak dapat memenuhi janji untuk mansuhkan tol.”

Beliau berkata, pinjaman 3 projek itu adalah untuk 20 tahun dan kerajaan tidak perlu membayarnya sekaligus.

“Kita akan hanya membayar RM4.5 bilion bagi tempoh 20 tahun, termasuk tiada keperluan membayar untuk 7 tahun pertama.”