Orang Melayu semakin konservatif, jadi kami dekati PAS, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak menegaskan hubungan dengan PAS tidak akan mengubah jati diri Umno.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tidak perlu berdolak-dalik atas langkah menghulurkan tangan persahabatan kepada PAS, tetapi mengakui bacaan beliau mengenai realiti politik mendorongnya membuat keputusan itu.

Dalam temu bual yang sangat spontan, bekas perdana menteri itu memberitahu FMT keputusan mendekati PAS adalah taktik politik yang mengambil kira peningkatan konservatisme dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

“Politik adalah permainan angka,” katanya apabila dikatakan dakwaan mengenai diri beliau sebagai seorang progresif dan moderat tampak bercanggah dengan keazaman beliau mendekati salah sebuah pertubuhan politik paling konservatif di Malaysia.

Beliau berkata, keputusan Umno untuk melunakkan pendirian terhadap PAS mengambil kira realiti demografi semasa.

“Beberapa peratus orang Melayu kini menjadi lebih konservatif dan mereka terus menyokong PAS,” katanya, dan “justeru Umno sebagai parti orang Melayu perlu bertindak sesuai dengan sifat spektrum politik yang dihadapinya.”

Beliau segera menambah bahawa hubungan lebih rapat dengan PAS tidak akan mengubah jati diri Umno sebagai sebuah parti “moderat dan progresif”.

Pada akhir 2015, Najib berkongsi pentas dengan rakan sejawatannya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang baru lepas menyingkirkan “kumpulan progresif” daripada parti pimpinan beliau berikutan pertikaian PAS dengan parti sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Kemunculan bersama itu merupakan eksesais perhubungan awam penting pertama presiden Umno dengan penyokong parti Islam tersebut. Selepas itu, pemimpin Umno dan PAS muncul beberapa kali lagi dalam program umum yang mendapat publisiti besar-besaran dan diwarwarkan sebagai kerjasama atas kepentingan bersama umat Islam.

Hubungan tersebut menjadi lebih rapat apabila Umno mengumumkan sokongan terbuka kepada usaha PAS meningkatkan hukuman ke atas pelaku jenayah syariah, isu sama yang sebelum itu memecahkan Pakatan Rakyat.

Walaupun Umno dan PAS bersaing sesama mereka dalam pilihan raya lepas, kerjasama antara 2 parti itu diperbaharui semula dalam pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis bulan lepas, dengan PAS meminta penyokongnya mengundi calon Umno, Datuk Lokman Noor Adam.

Najib bertegas, hubungan Umno-PAS bersifat longgar dan tidak akan mengubah Umno.

“Saya menekankan hubungan dengan PAS bukanlah hubungan formal, bukan seperti Pakatan,” katanya.”Jadi kita bebas menentukan asas pendirian masing-masing.”

Najib menolak dakwaan bahawa Umno menjadi semakin konservatif di bawah kepimpinan beliau, malah menegaskan perkara sebaliknya lebih tepat.

“Saya memimpin dan memandu Umno sebagai sebuah parti pertengahan, moderat dan progresif dengan dasar yang inovatif dan berani,” katanya, dan menambah beliau berusaha keras menarik pengundi bukan Melayu “walaupun majoriti mereka tidak menyokong Umno.”

Beliau berkata persahabatan dengan PAS “tidak harus mengubah” jati diri Umno. “Umno dikenali sebagai sebuah parti moderat dan progresif dan ia mesti kekal begitu.”

Najib menolak dakwaan bahawa perubahan sokongan orang Melayu menjadi punca kemenangan PH dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

“Bukan sangat tsunami pengundi Melayu,” katanya, “tetapi kerana undi orang Melayu pecah dan itu menyebabkan sebuah parti kecil berjaya menguasai kerajaan.”

Najib berkata, kuasa politik Melayu perlu dikuatkan dan menyuarakan keyakinan atas kemampuan pemimpin Umno sekarang melakukannya.

Katanya, Umno sebelum ini terlalu tegar menyebabkan banyak bakat baru “terhalang daripada menyertainya.”

“Jika Umno mahu menjadi kuasa yang disegani, ia perlu mengukuhkan pangkalan bakatnya, dan lebih terbuka kepada muka baru,” katanya. “Ia perlu memupuk dan membangunkan kepimpinan baru.”