PAS garis syarat kerjasama dengan Umno

Tuan Ibrahim berkata partinya disalah tafsir sebagai memperjuangkan hak orang Melayu semata-mata, sedangkan ia berjuang untuk hak semua rakyat.

PETALING JAYA: PAS hari ini menggariskan syarat bagi kerjasama dengan Umno, termasuk parti komponen barisan Nasional (BN) untuk memperjuangkan hak semua rakyat, bukannya orang Melayu sahaja.

Ini berikutan temu bual bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dengan FMT yang mendedahkan keputusan Umno mendekati PAS sebelum pilihan raya umum 9 Mei lepas merupakan taktik politik yang mengambil kira peningkatan konservatisme dalam kalangan orang Melayu yang terus menyokong PAS.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata partinya disalah tafsir sebagai memperjuangkan hak orang Melayu semata-mata, sedangkan ia berjuang untuk hak semua rakyat.

“Umno berjuang untuk orang Melayu, MIC untuk orang India dan MCA perjuangkan hak orang Cina.

“Akan tetapi,” katanya, “isu kemiskinan misalnya tidak boleh diperjuangkan mengikut kaum. Ia melampaui kaum. Kita perlu melihat isu itu sebagai rakyat Malaysia, dengan mengambil contoh Kelantan yang memenuhi keperluan semua rakyat melampaui pertimbangan kaum, termasuk komuniti minoriti Siam dan India.

Tuan Ibrahim berkata, PAS komited dengan pendiriannya untuk mentadbir negara berdasarkan prinsip Islam yang melindungi hak semua orang.

PRK Seri Setia ujian kerjasama Umno-PAS

Umno bersetuju menggerakkan jentera pilihan rayanya untuk membantu PAS sepanjang tempoh berkempen selama 21 hari dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia awal September depan.

Ia juga berjanji untuk memberi laluan kepada parti Islam itu sebagai membalas keputusan PAS tidak bertanding dalam PRK Sungai Kandis awal bulan ini.

Umno berjanji bekerja keras berkempen untuk PAS dalam PRK dijadualkan 8 September depan.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata beliau mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” sama ada sokongan itu akan menghasilkan undi untuk calonnya Dr Halimah Ali.

“Terdapat ramai penyokong Umno di Seri Setia,” katanya. “Setakat ini kami gembira dengan sokongan mereka tetapi tidak pasti sama ada sokongan itu akan bertukar menjadi undi.

“Jika calon PAS mendapat sokongan besar daripada ahli Umno di Seri Setia, maka kami boleh membincangkan syarat kerjasama dengan Umno untuk kepentingan negara. Tetapi (Umno) mesti berubah jika mereka mahu bekerja rapat dengan kami.”

Sehingga kini kata Tuan Ibrahim, PAS belum menerima apa-apa permintaan rasmi daripada Umno untuk bekerjasama.

Katanya, buat masa ini parti Islam itu akan terus bekerjasama dengan Umno atas isu terpilih yang dipersetujui bersama.