PRK Seri Setia: Sia-sia jika pilih calon PAS, kata Halimey

Halimey yakin beliau tidak akan ‘duduk diam’ malah akan lantang bersuara jika memenangi kerusi DUN Seri Setia itu nanti.

PETALING JAYA: Pengundi tidak akan mendapat manfaat jika mereka memilih calon selain daripada Pakatan Harapan (PH), kata Halimey Abu Bakar.

Calon PH bagi pilihan raya kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia itu berkata disebabkan bilangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang di Selangor sangat kecil, suara mereka diyakini tidak akan diangkat sama sekali, lebih-lebih lagi kerajaan yang memerintah pada hari ini juga adalah PH.

“Bagi saya kalau kita tengok sekarang ini pembangkang di Selangor hanya 5 orang sahaja, jadi saya rasa majoriti dalam sidang DUN pun tidak mencukupi untuk mereka bersuara.

“Jadi saya rasa tidak ada maknanya kalau kata suara dia akan diangkat, tidak ada makna langsung,” katanya dalam satu sidang media di bilik gerakan utama PH, hari ini.

Pembangkang kini mempunyai 5 kerusi di DUN Selangor dengan 4 daripadanya milik BN, manakala baki satu kerusi milik PAS.

Mereka ialah Rizam Ismail (DUN Sungai Air Tawar), Datuk Imran Tamrin (DUN Sungai Panjang), Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam), Datuk Shamsudin Lias (Sungai Burong), dan wakil tunggal PAS, Datuk Yunus Hairi yang mengekalkan DUN Sijangkang.

Terdahulu, calon PAS bagi PRK Seri Setia Dr Halimah Ali berkata jika calon PH memenangi kerusi itu nanti, mereka akan sukar untuk menegur kerajaannya sendiri, malah suaranya juga akan dihadkan.

Beliau berkata, ia berdasarkan kepada pengalamannya sebagai anggota Exco kerajaan Selangor sebelum ini.

Mengulas lanjut, Halimey yakin beliau tidak akan “duduk diam” malah akan lantang bersuara jika memenangi kerusi DUN Seri Setia itu nanti.

“Sebaiknya pilih calon dari kerajaan sekarang iaitu PH.

“Sudah pasti saya akan bersuara, pengalaman saya sebagai ahli majlis, saya juga telah banyak bersuara di kawasan saya,” katanya lagi.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

Pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, Shaharuddin yang mewakili PKR, memenangi kerusi DUN itu dengan memperoleh 29,250 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datuk Yusoff HM Haniff (9,878), calon PAS Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon Bebas Dr S Vignes (217).

DUN Seri Setia mempunyai 53,492 pemilih berdaftar, terdiri daripada 50,692 pengundi biasa, 2,770 pengundi awal dan 30 orang pengundi tidak hadir luar negara.