Qaradawi: Bantu orang lapar, sakit lebih baik daripada pergi haji, umrah

Pengguna media sosial membidas fatwa yang dikeluarkan Yusuf al-Qaradawi sebagai cubaan untuk merendah-rendahkan rukun Islam ke-5 dan mengurangkan tekanan ke atas Qatar yang menghalang rakyatnya mengerjakan haji tahun ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dunia Islam mengutuk fatwa dikeluarkan ulama terkenal Dr Yusuf al-Qaradawi yang merendah-rendahkan amalan menunaikan ibadat haji.

Pakar fiqh terkenal itu menulis di Twitter: “Allah tiada keperluan untuk menunaikan haji. Sebarang kewajipan yang dikenakannya bertujuan memperkayakan pengikutnya supaya mereka boleh mengatasi penciptanya dari segi rohani, moral dan psikologi.

“Allah menganggap umat Islam yang memberi makanan kepada orang kelaparan, merawat orang sakit dan memberi perlindungan kepada gelandangan lebih baik daripada membelanjakan wang untuk menunaikan haji serta umrah setiap tahun.”

Qaradawi berkata, melakukan perkara di atas akan memberi lebih banyak kepuasan dari segi rohani kepada umat Islam berbanding mengelilingi Kaabah.

Ibadat haji adalah rukun Islam ke-5 yang akan dilakukan setiap umat Islam berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Mengulas catatan kontroversi Qaradawi di Twitter itu, penasihat mahkamah diraja Arab Saudi, Saud al-Qahtani berkata: “Mereka yang tahu sejarah ibadat ini tidak akan merasakan fatwanya luar biasa.”

Pengguna media sosial membidas fatwa itu dan mendakwa Qaradawi cuba merendah-rendahkan rukun Islam ke-5 itu.

Mereka turut menyifatkan ia cubaan untuk mengurangkan tekanan ke atas pihak berkuasa Qatar yang menghalang rakyatnya daripada mengerjakan haji tahun ini.

Mereka berkata, ini bukan cubaan pertama Doha untuk merendah-rendahkan tindakan pimpinan dan rakyat Saudi menunaikan haji.

Mereka turut mendakwa Qaradawi cuba menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam dan mengeksplotasi agama demi kepentingan diri.

Kenyataan Qaradawi itu muncul selepas umat Islam dari seluruh dunia selesai menunaikan ibadat haji di bawah kawalan keselamatan ketat Riyadh.

Jemaah haji mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan rakyat Saudi atas kemudahan yang disediakan mereka.

Qaradawi dimasukkan dalam senarai hitam pengganas oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir pada 8 Jun 2017.

Ulama kelahiran Mesir itu sudah sekian lama hidup dalam buangan dan tinggal di Doha.

Beliau menerima pengiktirafan kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia yang menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah pada 2009.

Fatwa dan karangan beliau kerap dijadikan rujukan seluruh dunia bagi merungkai isu semasa melibatkan syariah dan masalah fiqh.