Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

AS juga mengancam untuk mengenakan cukai buat kali ke-3 terhadap barangan tambahan China bernilai AS$200 bilion bulan depan. (Gambar Reuters)

KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan faktor luaran, termasuk ketegangan akibat pertikaian perdagangan AS-China yang berlanjutan.

Pada 9 pagi ini, ringgit diniagakan pada 4.0990/1030 berbanding dolar AS daripada 4.0960/0990 sewaktu ditutup pada Selasa.

Pasaran ditutup pada Selasa bersempena Hari Raya Aidiladha.

Seorang peniaga berkata keputusan oleh Amerika Syarikat (AS) dan China untuk mengenakan tarif baru bernilai AS$16 bilion ke atas produk masing-masing mencetuskan ketidaktentuan pasaran.

“Ketika perang perdagangan itu berlanjutan, sebarang kenaikan tarif akan menyaksikan produk bernilai AS$50 bilion daripada kedua-dua pihak dikenakan cukai termasuk kenderaan, produk pertanian dan bahan kimia,” katanya.

Menurutnya, AS juga mengancam untuk mengenakan cukai buat kali ke-3 terhadap barangan tambahan China bernilai AS$200 bilion bulan depan.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kelompok mata wang utama lainnya.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9928/9969 daripada 2.9948/9977 pada Selasa dan mengukuh berbanding yen kepada 3.7011/7051 daripada 3.7135/7176.

Unit tempatan itu bagaimanapun susut berbanding pound Britain kepada 5.2832/2908 daripada 5.2507/2553 dan rendah berbanding euro kepada 4.7409/7468 daripada 4.7182/7225, sebelumnya.