Tadika di Seri Setia menyedihkan, kata calon PH

Halimey Abu Bakar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar mendapati prasarana pendidikan terutama tadika di kawasan itu ketinggalan berbanding di tempat lain.

Beliau berkata banyak tadika perlu ditambah baik dengan segera agar anak-anak kecil di Seri Setia dapat belajar dalam persekitaran yang bagus.

“Saya percaya prasarana yang mencukupi dan berada dalam keadaan baik akan menjadi pemangkin kecemerlangan kepada kanak-kanak,” katanya pada sidang media di hari ke-6 berkempen.

Beliau akan berusaha untuk menambah baik prasarana pendidikan di Seri Setia dan menambah lebih banyak tadika di situ.

Menurut Halimey, sejak 2010 hanya terdapat 1 tadika rakyat di DUN Setia Setia iaitu di Kampung Lindungan.

“Tadika rakyat ini kita telah wujudkan untuk menempatkan golongan yang berpendapatan rendah terutama sekali daripada kaum India yang kita serapkan masuk ke dalam tadika rakyat secara percuma,” katanya.

Kempen Halimey hari ini fokus kepada isu pendidikan. Beliau juga mahu menambah baik prasarana di sekolah rendah, menengah dan agama.

PRK DUN Seri Setia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Prof Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lepas kerana barah usus.

PRK kali ini menyaksikan pertembungan antara Halimey dan calon PAS, Dr Halimah Ali, yang juga bekas Adun Selat Klang dan exco kerajaan negeri.

Seri Setia akan mengundi pada 8 September ini.