Turki dakwa AS lancar ‘perang ekonomi’ berhubung penahanan pastor evangelis

Lira Turki hilang 37% nilainya tahun ini akibat kebimbangan berhubung pengaruh Erdogan ke atas dasar keawangan dan diburukkan lagi oleh pertikaian dengan Washington. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Turki menuduh Washington melancarkan “perang ekonomi” dan gagal menghormati sistem perundangannya berhubung penahanan 21 bulan seorang pastor Kristian evangelis atas dakwaan terorisme.

Jurucakap Presiden Turki, Tayyip Erdogan berkata, komen oleh penasihat keselamatan Presiden AS, Donald Trump membuktikan AS mensasarkan ekonomi Turki dan tidak menggambarkan prinsip serta nilai sekutu NATO.

Dalam kenyataan bertulis kepada Reuters, Ibrahim Kalin berkata, kenyataan penasihat Trump, John Bolton menunjukkan pentadbiran Trump mensasarkan sekutu NATO dalam perang ekonomi beliau.

“Pentadbiran Trump menunjukkan ia berniat menggunakan perdagangan, tarif dan sekatan untuk memulakan perang ekonomi,” kata Kalin dan merujuk kepada pertikaian AS yang serupa dengan Mexico, Kanada, Eropah dan China.

“Turki tidak bercita-cita memulakan perang ekonomi dengan mana-mana pihak. Akan tetapi ia tidak boleh dijangka berdiam diri terhadap serangan ke atas ekonomi dan sistem kehakimannya,” kata kenyataan itu lagi.

Kalin berkata Turki akan bekerjasama dengan negara lain bagi menghadapi langkah sekatan dan punitif.

Ketika lawatannya ke Isreal, Bolton memberitahu Reuters beliau meragui janji pelaburan sebanyak AS$15 bilion daripada daripada amir Qatar akan membantu Turki kerana “jumlah itu terlalu sedikit untuk memberi kesan ke atas ekonomi negara itu”.

Lira Turki stabil Rabu lepas selepas komen Bolton, termasuk pandangannya bahawa Turki membuat “kesilapan besar” tidak membebaskan pastor warga AS itu, Andrew Brunson.

Bagaimanapun lira kehilangan 37% nilainya tahun ini akibat kebimbangan berhubung pengaruh Erdogan ke atas dasar keawangan dan diburukkan lagi oleh pertikaian dengan Washington.

Kulin menggesa Washington menghormati kebebasan kehakiman Turki berikutan kritikan Washington terhadap penahanan Brunson.

“Ada undang-undang di Turki dan kes Andrew Brunson adalah isu undang-undang. Proses undang-undang sedang berjalan ke atas individu ini,” kata Kalin lagi.

Brunson yang tinggal di Turki selama 2 dekad kini berada dalam tahanan rumah kerana dakwaan terorisme. Beliau menafikan tuduhan itu.

Peguam Brunson berkata beliau bercadang mengemukakan rayuan pembebasan Brunson kepada Mahkamah Perlembagaan setelah mahkamah rendah di wilayah Izmir menolaknya minggu lepas.

Dalam temu bual dengan Reuters Isnin lepas, Trump berkata beliau bersedia memberikan konsesi kepada Turki sekiranya Brunson dibebaskan.