Zamihan kembali ke Jakim selepas kontrak pulih militan tamat

Zamihan Mat Zin mendakwa beliau diarah dipindahkan daripada KDN ke Jakim dalam masa 24 jam, pada Jun lalu.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman mengesahkan Jabatan Penjara menamatkan kontrak Zamihan Mat Zin sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

Zamihan antara 46 panel pemulih suspek kes berkaitan militan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma).

“Kontrak dia telah tamat,” katanya kepada FMT sewaktu diminta memberi penjelasan mengenai status Zamihan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Zamihan ialah pegawai kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebelum dipinjamkan kepada KDN untuk menyemak penerbitan agama dan ditempatkan di Jabatan Penjara sebagai pegawai pemulihan pengganas dan penjenayah ekstremis.

Zamihan ketika dihubungi FMT hari ini menafikan kontraknya ditamatkan, sebaliknya beliau berkata, tugasnya sebagai panel pemulih militan itu ialah lantikan, bukannya berstatus kontrak.

“Jawatan saya sebagai pegawai radikalisasi di KDN adalah lantikan selama 2 tahun sekali dan ia dibuat (Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) sendiri, sejak dilantik pada Jun 2017, tarikhnya masih ‘valid’ iaitu hingga Jun 2019.

“Seramai 46 individu yang dilantik dalam pelbagai bidang dan saya sebagai ketua, boleh kata begitu. Apabila kerajaan baru berkuasa, tidak ada kuasa membatalkan panel yang dilantik.

“Program masih berjalan seperti biasa, cuma tidak serancak dahulu. Kalau diwar-warkan saya ditamatkan kontrak, itu bukan, tetapi ia adalah lantikan.”

Zamihan mendakwa selepas Datuk Mujahid Yusof Rawa dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri dan mengetuai Jakim, beliau diarah dipindahkan daripada KDN ke Jakim dalam masa 24 jam.

“Saya pegawai kerajaan dari Jakim, saya ada jawatan tetap di Jakim, tetapi sebelum ini dipinjamkan ke KDN. Bila Jakim dapat menteri baru, saya diarahkan bertukar semula ke Jakim dalam masa 24 jam,” katanya sambil menambah arahan pemindahan itu dibuat sekitar Jun lalu.

Katanya, beliau sendiri tidak tahu punca arahan penempatan semula ke Jakim dan usahanya mendapatkan penjelasan daripada bahagian sumber manusia juga gagal.

“Kena tanya ketua pengarah Jakim dan menteri Jakim, mereka sahaja yang ada jawapan, saya juga tidak tahu. Saya ada tanya bahagian sumber manusia kenapa saya dipindahkan.”

Pada 1 Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, KDN dalam proses mengambil tindakan “dalaman” ke atas Zamihan kerana beberapa kenyataan penceramah itu yang dilihat tidak seiring dasar kerajaan.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) itu mengundang kontroversi selepas mempertikaikan pandangan Sultan Johor mengenai sebuah dobi di Muar yang enggan menerima pakaian bukan Islam dan menghina tahap kebersihan orang Cina.

Beliau kemudiannya direman 3 hari di bawah Akta Hasutan, pada 11 Oktober lalu kerana kritikan itu.

Zamihan turut mempersoalkan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) kerana menganggap Arab Saudi tidak layak menjalankan tanggungjawab itu, di sebalik pelbagai laporan mengaitkan aliran Wahabi yang diikuti agamawan Saudi dengan beberapa pendirian melampau di pihak IS.

Pada 16 Oktober 2017, Sultan Sharafuddin Idris Shah menarik balik tauliah Zamihan untuk mengajar agama.

Sultan Selangor menyifatkan isi kandungan ceramahnya “rasis” serta “kurang beradab”, manakala Sultan Johor menyifatkan Zamihan “tin kosong”.

Pada 9 November lalu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri ketika itu memuji Zamihan ialah aset penting kerana kepakarannya dalam memulihkan pengganas dan banduan serta mengembalikan mereka kepada akidah Islam sebenar.