1MDB diberi kebenaran jual Equanimity

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kumpulan 1MDB untuk menjual kapal Equanimity bernilai RM1 bilion, yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, yang dituduh menggelapkan wang syarikat itu.

Perintah ex-parte itu diperoleh selepas peguam 1MDB Global Investments Ltd, 1MDB Energy Holdings Ltd, 1MDB dan kerajaan Malaysia mengemukakan hujahan di kamar di depan Pesuruhjaya Kehakiman Khadijah Idris.

Ong Chee Kwan.

Peguam Ong Chee Kwan pada sidang media berkata plantif memaklumkan kepada mahkamah bahawa penjualan perlu dilakukan kerana kos tinggi menjaga kapal itu, yang sedang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Beliau menambah proses jualan akan dilakukan secepat mungkin kerana hasil kutipan akan berkurangan, katanya.

Ong berkata jualan itu patut selesai hujung tahun ini melalui tender awam dan hasil kutipan akan disimpan dalam satu akaun berfaedah.

Beliau berkata seorang jurunilai akan dilantik untuk menilai kapal itu.

Plaintif membuat permohonan untuk menjual kapal itu pada Selasa. Dalam permohonannya, plaintif meminta pegawai mahkamah menjual kapal itu sama ada secara lelong awam atau perjanjian persendirian.

Pembayaran dalam mata wang dolar AS, ringgit atau Euro itu mesti dimasukkan ke dalam akaun berfaedah sementara menunggu keputusan mahkamah ke atas kes saman.

Perkembangan ini ketika entiti yang dianggap pemilik kapal itu, yang berpangkalan di Kepulauan Cayman dan dinamakan sebagai defendan, gagal memohon untuk tampil mengetepikan waran tangkap atau mencabar pengisytiharaan yang diminta oleh plantif dalam tempoh masa 14 hari, yang tamat pada Selasa.

Plaintif yang memperoleh waran tangkap ke atas kapal itu pada 6 Ogos lepas juga memohon pengisytiharaan mengatakan mereka adalah pemilik kapal kerana ia dibeli wang yang dicuri daripada 1MDB.

Mereka juga meminta perintah menjual kapal itu dan hasil kutipannya akan diserahkan kepada pemilik yang sah selepas mahkamah mendengar pengisytiharaannya.

Peguam Jeremy M Joseph, yang dilantik kerajaan untuk mengendalikan saman itu berkata, pemilik kapal tidak melantik peguam untuk menjawab perintah jualan atau pengisytiharaan yang diminta itu.

“Kami memfailkan permohonan itu pada Selasa kerana tiada orang tampil mewakili pemilik kapal,” katanya.

Joseph berkata plaintif menggunakan undang-undang admiralti untuk menangkap kapal itu dan memastikan pemilik baharu akan diberi geran yang sah.

Beliau berkata plaintif akan memohon pengkhakiman ingkar ke atas pengisytiharaan yang dipohon itu jika tiada pihak tampil mencabar saman itu.