
KUALA LUMPUR: Keluarga mangsa tragedi kehilangan 7 murid di Pos Tohoi, Gua Musang 3 tahun lalu nekad menyaman kerajaan kerana kecualian yang menyebabkan 5 kanak-kanak meninggal dunia.
Enam saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu 13 Ogos lalu memohon ganti rugi yang tidak ditentukan jumlahnya dan beberapa tuntutan berkaitan pendidikan dan kebajikan.
Saman difailkan terhadap kerajaan dan 8 orang pegawai kerajaan yang didakwa menyalahi tugas statutori, fidusiari dan perlembagaan, dan jangkaan yang sah para plaintif.
Pegawai berkenaan bertanggungjawab ke atas pendidikan dan pentadbiran sekolah dan asrama, dan mereka yang bertanggungjawab ke atas pembangunan luar bandar, hal ehwal Orang Asli serta usaha pencarian dan menyelamat.
“Mereka menuntut pengisytiharan khusus berkenaan pendidikan Orang Asli, apa yang sudah dan belum dibuat,” kata peguam, Gokul Radhakrishnan pada sidang media hari ini.
Gokul mewakili Midah Angah, ibu kepada 2 kanak-kanak dalam tragedi itu. Lima firma guaman mewakili 6 keluarga dalam saman ini secara percuma.

Sementara itu, aktivis dan peguam Siti Kassim berkata tidak sebarang tindakan susulan oleh pihak berwajib selepas tragedi itu sehingga hari ini.
“Dahulu sewaktu kejadian tengah ‘panas’, berpusu-pusu datang konon nak bantu. Sekarang sudah 3 tahun, mana pergi semua itu? Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pun tidak datang. Terus diam dan membiarkan mereka,” katanya.
Pada 22 Ogos 2015, 7 kanak-kanak Orang Asli berusia 7 hingga 11 tahun dilaporkan hilang dan hanya 2 mangsa ditemui penyelamat selepas lebih 40 hari pencarian.
Norieen Yakoob dan Maksudiari Aluj ditemui dalam keadaan kurus, lapar dan trauma.
Kanak-kanak lain, Haikal, Ika Ayel, 9, Juvina David, 7, Linda Rosli, 8, dan Sasa Sobrie, 8, mati di dalam hutan. Jasad Sasa tidak dijumpai.
Pada awalnya mereka didakwa melarikan diri dari asrama kerana takut dimarahi guru selepas mandi di sungai berdekatan tanpa kebenaran.
“Norieen sendiri saksikan bagaimana badan rakannya rabak ketika dimakan biawak besar dalam hutan itu. Dia juga saksikan kaki rakannya tertebus buluh sehingga maut menahan kesakitan,” kata Siti.
“Pihak sekolah langsung tidak memberitahu anak-anak mereka ini hilang. Keluarga yang tahu sendiri.”
Sementara itu, Ayel Ajib, ayah kepada salah seorang mangsa berkata, hampir semua keluarga dalam komuniti itu tidak lagi menghantar anak ke sekolah berkenaan kerana bimbang keselamatan anak-anak yang tidak terurus.
“Kami sangat berharap pihak kerajaan boleh menyediakan sekolah di kampung supaya anak-anak tidak perlu ke asrama di usia yang masih muda,” katanya sambil menahan sebak.